Hati-hati jika anak sering menangis sepanjang PKP


  • Massa
  • Jumaat, 03 Sep 2021

Ibu bapa harus lebih peka dan berwaspada dengan perubahan emosi anak masing-masing sepanjang tempoh sukar ini.

KITA yang dewasa pun stres angkara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apatah lagi kanak-kanak yang hanya terperap di rumah.

Apabila mereka menangis, belum tentu ia berpunca disebabkan mereka lapar. Jadi, ibu bapa harus lebih peka dan berwaspada dengan perubahan emosi anak masing-masing sepanjang tempoh sukar ini.

Jika anda terlepas pandang, tidak mustahil anak-anak kita berdepan masalah psikologi yang kritikal pada jangka masa panjang, selain masalah ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak juga dikhuatiri semakin membimbangkan sepanjang tempoh PKP yang dilihat sukar untuk berakhir dalam masa terdekat.



Dari kiri, Prof Madya Ruhani Mat Min, Dr Nazariah Shar'ie Janon dan Prof Madya Dr Nora Mat Zin.

Pakar psikologi dan kaunseling Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Ruhani Mat Min berkata, perkembangan anak-anak boleh terganggu jika situasi ini berlanjutan kerana pendedahan yang sepatutnya diberikan terhadap mereka dilihat cukup terhad.

Sekiranya anak-anak ini terus dibiarkan terperap di rumah begitu sahaja tanpa diberikan perhatian sebaiknya, jelas Ruhani, ia akan mengakibatkan kesan emosi untuk jangka masa yang panjang.

“Jika perhatian tidak diberikan ibu bapa, emosi anak-anak akan terganggu. Sebab itu kalau ada anak-anak menangis bukan sebab dia lapar, tapi perlukan perhatian kerana apabila emosi diabaikan, ia akan beri kesan kepada perlakuan dan kognitif anak-anak. Rasa kepercayaan dan pergaulan dia dengan orang lain juga akan terkesan.

“Nanti kalau sudah bersekolah dan seterusnya masuk ke alam pekerjaan, anak ini akan mengalami kesukaran untuk bergaul dan mempercayai orang lain. Lebih teruk, dia juga tidak mempunyai keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri,” katanya kepada Majoriti baru-baru ini.



Menurut pakar, untuk kanak-kanak pada usia 3 hingga 8 tahun, aktiviti seni adalah penting dalam membantu aspek tumbesaran dan perkembangan aspek mental, sosial dan emosi.

Ruhani berkata, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, ibu bapa perlu mencari inisiatif mengurangkan had yang ada pada masa ini untuk melatih perkembangan anak-anak.

“Contohnya sambil ibu memasak, boleh perkenalkan kosa kata dan konsep kepada anak. Ketika waktu makan pun boleh jelaskan kepada mereka apa itu pedas, tumpah dan perkataan-perkataan yang lain. Dalam seminggu kita ada tujuh hari, mungkin tak semua hari kita sibuk dengan aktiviti bekerja dari rumah. Jadi kalau rumah ada ruang di luar, bawa anak keluar untuk anak fokus dan teroka perkara-perkara lain di luar,” katanya.



Ibu bapa perlu memainkan peranan agar anak-anak tidak terperap di rumah begitu sahaja tanpa diberikan perhatian sebaiknya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Psikologi Perkembangan Kanak-kanak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nazariah Shar'ie Janon berpandangan segala-galanya bergantung kepada peranan ibu bapa bagaimana pelaksanaan PKP ini memberi kesan kepada perkembangan dan membina skema mental anak.

“Dalam tempoh sekarang, mungkin mereka tidak akan dapat merasai pengalaman di lapangan untuk membina skema mental, contohnya bagaimana untuk makan di restoran.

"Skema mental ini penting kerana ia dapat membantu kanak-kanak menyelesaikan masalah di masa depan kerana apabila anak didedahkan dengan dengan banyak skema, peluang untuk dirinya menyelesaikan masalah akan meningkat," jelasnya.



Kanak-kanak tidak seharusnya didedahkan dengan aktiviti melibatkan gajet terlalu lama kerana ia bakal memberi kesan buruk terhadap perkembangan anak-anak.

Terdahulu, Perunding Psiakiatrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Prof Madya Dr Nora Mat Zin dilaporkan berkata, salah satu kesan buruk terkurung di rumah dalam kalangan kanak-kanak adalah peningkatan besar-besaran penggunaan gajet serta masa yang dihabiskan di depan skrin.

"Tanda biasa perubahan tingkah laku anak lazimnya asyik dengan telefon pintar, agresif, gelisah, gangguan tidur dan tidak mementingkan makan. Ada ketikanya mereka mungkin terdorong untuk mencederakan diri sendiri, meskipun tahu tindakan mereka tidak boleh diterima.

"Internet memberikan mereka ruang untuk melupakan sebarang perasaan sedih atau masalah yang mengganggu emosi mereka. Mereka tak kisah tidur dan lebih suka menyendiri dalam dunia online," katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram