JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu membuat pemeriksaan berjadual terhadap syarikat-syarikat yang sudah memulakan operasi di pejabat dengan memantau langkah-langkah keselamatan yang diterapkan di tempat kerja.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pemeriksaan berkala itu penting untuk keselamatan pekerja dan bukannya hanya buat pemeriksaan jika berlaku kemalangan.
Tambahnya, keselamatan pekerja harus diberi keutamaan dan tiada toleransi yang harus diberikan terhadap syarikat yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.
"MTUC berharap JKKP dapat melakukan supaya mengikut peraturan dan spesifikasi tempat kerja yang selamat, lebih-lebih lagi setelah kawasan di Lembah Klang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"JKKP juga harus bertegas terhadap syarikat-syarikat yang tidak mengikut spesifikasi tempat kerja selamat dengan mengarahkan mereka untuk menghentikan operasi di pejabat serta-merta dalam tempoh masa tertentu," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar mengenai pengudaraan lemah di pejabat yang menjadi punca utama kluster tempat kerja berlaku.
Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor. — The Star
Abdul Halim berkata, syarikat harus bertanggungjawab menyediakan tempat kerja yang selamat untuk pekerja mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, termasuklah memastikan tempat kerja mempunyai pengudaraan yang baik.
Tambahnya, syarikat tidak boleh berfikir untuk berjimat-cermat dalam soal penyediaan pengudaraan yang baik dan menganggap segala kos yang dibayar untuk menyediakan tempat kerja selamat sebagai satu pelaburan jangka panjang dan bukannya perbelanjaan.
Beliau turut mencadangkan kerajaan supaya memastikan syarikat-syarikat yang beroperasi mempunyai masa rehat yang terkawal dan mengehadkan pergerakan pekerja di dalam pejabat.
"Ada syarikat yang tidak mempunyai kantin atau ruang makan khusus untuk pekerja dan ini menyebabkan pekerja terpaksa makan di luar. Ini meningkatkan lagi risiko pekerja untuk mendapat virus Covid-19 di luar pejabat.
"Selain itu, syarikat harus menguatkuasakan larangan pergerakan di dalam pejabat supaya pekerja yang tidak mempunyai akses ke jabatan-jabatan yang tidak diperlukan," katanya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram