'Wajibkan lesen memandu satu diskriminasi terhadap pekerja'


  • Massa
  • Isnin, 06 Sep 2021

MAJIKAN juga harus mengambil kira kos penyelenggaraan kenderaan yang harus dibelanjakan oleh pekerja. — Gambar Hiasan/The Star

MELETAKKAN syarat mempunyai lesen memandu sebagai salah satu keperluan utama dalam iklan jawatan kosong adalah salah satu bentuk diskriminasi terhadap pencari kerja.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, majikan harus mempunyai alasan yang kukuh jika mahu meletakkan syarat berkenaan di dalam iklan jawatan kosong.

"Mempunyai lesen memandu sepatutnya tidak termasuk dalam syarat wajib kecuali jika asas sesuatu pekerjaan itu memerlukan pekerja bergerak ke sana sini dengan kerap," katanya kepada Majoriti pada Isnin.

Beliau berkata, undang-undang di bawah Akta Keselamatan Sosial, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 1969 juga tidak memperuntukkan bahawa seseorang pekerja itu harus memiliki lesen memandu jika dia terlibat dalam kemalangan untuk mendapatkan pampasan.

file6yt3e6lbww7xl0n2j93

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor. — The Star

Malah di bawah Akta Pekerja 1955, majikan sendiri yang harus menyediakan pengangkutan yang diperlukan oleh pekerja syarikat, jelas Abdul Halim.

"Jika majikan tetap mewajibkan pekerja mempunyai lesen memandu, adakah mereka mahu membayar kursus untuk mengambil lesen? Bagaimana pula dengan yuran tahunan lesen dan pengangkutan bagi pekerja itu? Adakah mereka akan sediakan?" soalnya.

Abdul Halim berkata, bagi pekerja yang perlu bergerak dengan kerap, syarikat juga harus menyediakan perlindungan tambahan di luar masa bekerja jika tidak dilindungi oleh Perkeso, selain harus mengambil kira kos penyelenggaraan kenderaan yang harus dibelanjakan pekerja tersebut.

Pada Isnin, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman mendesak supaya majikan tidak melonggarkan syarat berkenaan kerana terdapat tugas yang memerlukan pekerja untuk memandu kenderaan sama ada motosikal atau kereta.

Ini kerana beliau dilaporkan berkata, jika pekerja memandu kenderaan syarikat tanpa lesen memandu yang sah, majikan juga akan dipertanggungjawabkan terhadap kesalahan berkenaan.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram