KADAR pengangguran akan semakin tinggi sekiranya polisi ‘No jab, No job’ atau ‘Tiada suntikan, tiada kerja’ dilaksanakan, kata Prof Datuk Dr Teo Kok Seong
Namun, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menegaskan, pelaksanaan polisi itu bukanlah suatu bentuk penindasan yang sengaja dilakukan, sebaliknya ia adalah suatu teguran selaras dengan keadaan sekarang, yang mana pandemik Covid-19 sememangnya berbahaya.
Tambahan pula, Kok Seong berkata, kadar jangkitan dan kematian yang meningkat selain kesan dari sudut ekonomi akibat wabak itu juga perlu diambil kira.
“Jadi, ini boleh diselesaikan dengan salah satu cara iaitu vaksinasi. Buat masa sekarang, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kerana tiada undang-undang yang mewajibkan semua (vaksinasi), dan kalau tidak divaksinasi menjadi satu kesalahan jenayah dan boleh diambil tindakan misalnya.
“Tapi, kalau terpaksa, kerajaan akan buat untuk lindungi satu negara, dan sekiranya ia (undang-undang) tidak dilaksanakan, negara tak akan selamat dari segi kesihatan,” katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, vaksinasi perlu dianggap sebagai keperluan nasional dan memerlukan kerjasama dari semua pihak bagi memerangi Covid-19 selain mencapai imuniti kelompok.
Vaksinasi perlu dianggap sebagai keperluan nasional bagi memerangi Covid-19, kata Kok Seong. —Bernama
Justeru, katanya, penduduk di negara ini perlu mencapai 70 atau 80 peratus kadar vaksinasi dan sekiranya ada yang enggan divaksinasi atas sebab-sebab tertentu, maka sasaran tidak dapat dipenuhi.
“Apabila sasaran tak dapat dipenuhi, maka keselamatan negara akan terancam.
“Pekerja tak divaksin tak boleh bekerja kerana berbahaya kepada orang lain. Kalau penyakit itu berbahaya kepada dirinya sendiri tidak mengapa kerana itu pilihannya.
“Kerana penyakit ini (Covid-19) adalah berjangkit. Ini bukan kencing manis dan darah tinggi yang tidak akan berjangkit, tapi ia adalah pandemik yang sedang berlaku di seluruh dunia,” jelasnya.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, polisi ‘No jab, No job’ atau ‘Tiada suntikan, Tiada kerja’ yang bertujuan mewajibkan suntikan vaksin sebagai syarat untuk pengambilan pekerja baharu atau pekerja lama kembali bekerja wajar dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di tempat kerja.
Beliau berkata, pekerja yang tidak divaksin atas pilihannya sendiri boleh dihalang daripada bekerja semula sehinggalah individu tersebut divaksinasi lengkap atau sekiranya kerajaan mengisytiharkan Malaysia bebas daripada Covid-19.
Kata Syed Hussain, syarat tersebut adalah munasabah kerana di bawah Seksyen 15 dan 17, Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994), menyatakan bahawa majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kerja yang selamat dan memastikan orang lain tidak terdedah kepada risiko keselamatan serta kesihatan.
Sementara itu, Ahmad Farami Abdul Karim yakin bahawa polisi ‘No jab, No job’ tidak akan menyumbang kepada pengangguran rakyat tempatan kerana jumlah individu yang menolak vaksin adalah tidak signifikan.
Lama-kelamaan, katanya, polisi berkenaan akhirnya akan mendorong seseorang individu untuk menerima vaksin.
Jelas pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, polisi berkenaan bukan satu bentuk penindasan, yang mana data Sains menunjukkan suntikan dua dos vaksin boleh melindungi diri dan mengawal penularan Covid-19.
Ahmad Farami menegaskan, pekerja yang tidak divaksin adalah satu ancaman terhadap orang lain. — Malaysian Press Institute (MPI)
Sebaliknya, beliau berkata, tindakan bekerja dan bergaul dalam masyarakat tanpa divaksin sebenarnya satu penindasan terhadap hak komuniti.
“Komuniti ada hak terhadap kesihatan dan kesejahteraan. Pekerja yang sudah divaksin juga ada hak kesihatan di tempat kerja yang perlu dilindungi.
“Pekerja yang tidak divaksin adalah satu ancaman dan risiko terhadap orang lain. Prinsipnya mudah, hak kesihatan masyarakat lebih penting daripada hak kebebasan individu yang menolak vaksin,” katanya.
Beliau berkata, polisi ‘No Jab, No Job’ juga perlu dilaksanakan bagi memelihara kepentingan kolektif dan vaksinasi adalah tanggungjawab sosial kerana ia melibatkan maslahat awam.
“Untuk bekerja dalam komuniti, pekerja harus patuh tanggungjawab sosial mereka. Golongan yang menolak vaksin mungkin boleh memilih bekerja sendiri tanpa interaksi dengan masyarakat.
“Pekerjaan seperti ini berpadanan dengan sikap anti sosial mereka yang menolak vaksin,” katanya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
.