Vaksin pekerja: Teliti semua akta kesihatan, keselamatan 1994


  • Massa
  • Sabtu, 04 Sep 2021

PEKERJA kedai pakaian menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap meningkatkan tahap keyakinan pelanggan - Bernama

AKTA Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 wajar dilihat semula untuk disesuaikan dengan situasi pandemik yang sedang melanda negara.

Langkah untuk mengubah semula AKKP 1994 dilihat perlu bagi mengikut keperluan situasi norma baharu.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata akta itu diluluskan ketika situasi negara berada dalam keadaan normal dan ia berbeza dengan apa yang dihadapi sekarang.

“Kita kini berada dalam situasi tidak normal dan saya lihat akta yang diguna sekarang tidak relevan dengan situasi sekarang.

“Saya berpendapat adalah lebih baik jika akta itu dilihat semula mengikut keadaan semasa dan diselaraskan mengikut keadaan sekarang,” katanya kepada Majoriti.

Pada Jumaat, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata pekerja yang enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan mengikut AKKP.

Walaupun tiada peruntukkan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 namun AKKP 1994 menuntut majikan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan tidak mengancam kesihatan pekerja.

"Orang ramai boleh pertikai tiada akta baharu dikeluarkan tapi mereka perlu tahu bahawa akta berkaitan dengan keselamatan di tempat kerja masih boleh digunapakai.

"Kami tidak boleh mengambil tindakan jika terdapat individu tidak divaksin, tetapi tindakan masih boleh diambil kerana tempat itu tidak selamat dari segi persekitaran,” katanya.

Saravana mengulas kenyataan Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Dr Shawaludin Husin bahawa pihak majikan tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pekerja mendapatkan vaksin Covid-19.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

covid, Mohd Effendy, mtuc, vaksin, akkp