Tempoh seminit yang mendebarkan


  • Tular
  • Khamis, 09 Sep 2021

TANGKAP layar menunjukkan dua daripada tiga suspek bergegas menggeledah barang kemas di sebuah kedai emas di Gombak sebelum melarikan diri.- Facebook

SEBUAH kedai emas di Kampung Simpang Tiga, Gombak Selangor terpaksa menanggung kerugian selepas premis berkenaan dirompak oleh tiga individu.

Menerusi satu rakaman kamera litar tertutup yang dimuat naik oleh laman Facebook Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia, kejadian itu dikatakan berlaku pada Khamis namun tiada maklumat lengkap mengenai masa kejadian.

Turut tidak dapat dipastikan adalah berapa jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung pemilik kedai emas berkenaan.

Dalam video berdurasi seminit itu menunjukkan tiga suspek datang ke kedai itu dan dikatakan kesemuanya menaiki dua motosikal jenis Yamaha Y15.

Kesemua suspek dilihat melulu masuk ke premis dan beberapa orang yang mungkin pekerja kedai dilihat seakan-akan cuba melarikan diri kerana bimbang keselamatan diri.

Seorang suspek yang memakai baju berwarna biru terus memanjat dan menggeledah laci pameran manakala seorang lagi yang memakai baju berwarna kelabu melulu ke arah meja di bahagian belakang kedai.

Beberapa individu dari premis bersebelahan turut dilihat datang dan mungkin cuba untuk hulurkan bantuan namun segera diugut seorang lagi suspek menggunakan senjata tajam.

Pada hujung video berkenaan, seorang lelaki dari arah belakang kedai muncul dan segera bertindak menghalang tindakan ketiga-tiga suspek yang berjaya loloskan diri.

Menerusi muat naik sama, laman Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia turut meminta saksi kejadian untuk tampil di balas polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed dalam kenyataannya berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang daripada orang awam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa, wanita Indonesia yang juga pemastautin tetap berusia 46 tahun ketika berada di kedai emas bersama ibu, anak dan adik ipar didatangi tiga lelaki menyerbu ke dalam premis.

Beliau berkata, suspek menutup muka dengan cara memakai topi keledar bervisor gelap.

"Suspek membawa lari pelbagai jenis barang kemas dengan anggaran kerugian lebih kurang RM200,000.

"Usaha mengesan suspek telah digerakkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rompak, kedai emas, yamaha