KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu membuat penambahbaikan terhadap polisi pengambilan anak angkat agar proses pengangkatan secara separa yang tidak memerlukan kanak-kanak bersama keluarga angkat dapat dilaksanakan, kata Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.
Menurut beliau, adalah lebih baik jika kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 masih dapat bersama adik beradik yang lain di bawah jagaan keluarga terdekat.

"Sebenarnya kami tidak menyokong anak-anak ini dipisahkan daripada adik beradik dan keluarga terdekat setelah kehilangan ibu bapa mereka, tapi kita mahu ada proses pengangkatan separa yang mana ada keluarga angkat berperanan sebagai penaja tanpa anak ini ada bersama keluarga angkat tersebut.
"Sekarang memang ada ramai yang berminat untuk menaja dan kalau boleh kita mahu satu proses yang lestari di mana orang itu menaja bukan untuk one-off tapi fokus sehingga anak-anak itu dewasa.
"Jadi kita mahu proses pengangkatan itu ditambahbaik dengan menambah keluarga penaja angkat bagi anak-anak yang sekarang ini terpaksa tinggal bersama ibu atau ayah atau perlu bersama keluarga baharu," katanya kepada Majoriti pada Khamis.
Sementara itu, beliau juga mengharapkan agar KPWKM tidak terlepas pandang terhadap keperluan penjaga baharu anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 yang dilihat memerlukan sokongan yang berpanjangan daripada pihak berkepentingan.
"Bantuan juga bukan kepada anak-anak itu sahaja tetapi keluarga caretaker baharu dalam kalangan ibu bapa saudara, nenek dan datuk yang dilihat perlu diberikan bantuan psikologi dan kaunseling.
"Walaupun mereka sedar itu memang tanggungjawab tapi kita tidak boleh anggap perkara itu selesai begitu sahaja. Perlu ada bantuan berterusan kerana mungkin mereka juga ada berdepan masalah.
"Ramai orang terlepas pandang, hanya beri bantuan kewangan, tapi kaunseling pun penting sebab mereka pun mahu luahkan bagaimana nak jaga anak sendiri bertambah pula dengan anak jagaan. Memang betul kadang mereka kata nak jaga macam anak sendiri tapi kita tidak tahu apa masalah yang akan dihadapi nanti," katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia melaporkan, seramai 1,517 pelajar sekolah disahkan kehilangan ibu bapa sejak Mac 2020 hingga hingga Ogos 2021.
Ia termasuk sama ada kehilangan kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripadanya akibat virus Covid-19.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
