KKM lancar CovidNow


  • Primer
  • Khamis, 09 Sep 2021

KHAIRY maklum orang ramai boleh mengakses laman terbabit bermula 6 petang pada Khamis. — Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan melancarkan laman sesawang Covid Now yang memaparkan data harian jangkitan berkenaan bermula Khamis.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, orang ramai boleh mengakses laman berkenaan bermula pukul 6 petang pada Khamis.

"Malaysia merupakan negara terawal yang berkongsi data secara terbuka melalui Github tetapi paparan data di GitHub itu dirasakan lebih sesuai untuk mereka yang mahir dengan sains data.

'Laman web ini akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses oleh masyarakat umum.

"Antara set data yang ditambah adalah perincian kes baharu beserta status vaksinasi dan jenis vaksin, perincian kes kematian dan data kesan buruk (AEFI) mengikut jenis vaksin," katanya.

KKM sebelum ini digesa berkongsi data granular oleh negeri-negeri seperti Selangor dan pihak media sejak lebih setahun lalu.

Capture 1

Paparan laman sesawang CovidNow. — Facebook KKM

Tambah Khairy, data dan maklumat yang dikongsikan di GitHub dan juga Covid Now diharap memberikan masyarakat tentang pemahaman dan kesedaran yang lebih baik berhubung situasi jangkitan wabak itu di dalam negara.

"Selain itu juga, usaha untuk melakukan perubahan tingkah laku dan langkah mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipertingkatkan supaya kita boleh mula memasuki fasa baharu hidup bersama virus Covid-19," jelasnya.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan klasifikasi Covid-19 sebagai endemik dijangka pada Oktober bukan bermaksud mengaku kalah tetapi menerima realiti.

"Dengan adanya varian Delta, susah untuk kita mencapai imuniti kelompok. Ia bukannya mengaku kalah tetapi lebih menerima hakikat untuk hidup bersama virus.

"Perkara ini diakui oleh saintis dari negara-negara Asia Tenggara dan juga Eropah. Segerakan temu janji vaksin anda," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Khairy Jamaluddin, KKM, CovidNow