SEORANG wanita yang juga kerani kilang ditemui mati di bawah katil dipercayai dirogol dan dibunuh oleh seorang lelaki yang memecah masuk ke rumahnya dalam satu kejadian di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada pukul 7.20 malam, Sabtu lalu.
Mangsa, seorang wanita berusia yang berusia 40 tahun dikatakan tinggal seorang diri di sebuah di rumah dua tingkat di Taman Seruling Emas, Sungai Jawi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu disedari pada pukul 3 petang oleh rakan mangsa yang datang kerana ingin bertemu dengannya.
Jelasnya, rakan mangsa berkenaan ternampak seorang lelaki keluar dari rumah mangsa dengan menaiki motosikal sebelum menghubungi kakak mangsa bagi memaklumkan perkara itu.
"Kakak mangsa kemudian menghubungi rakannya untuk memeriksa keadaan adiknya. Rakannya itu kemudian menghubungi pihak polis selepas mendapati pintu rumah tidak tertutup rapat.
"Berdasarkan pemeriksaan polis di lokasi kejadian, rumah mangsa didapati dalam keadaan berselerak. Mangsa pula ditemui dalam keadaan terbaring di bawah katil bilik bawah kediamannya," katanya.
LEE Chong Chern memberitahu, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau.
— Agensi
Tambahnya, kejadian berkenaan turut disaksikan oleh salah seorang jiran mangsa yang ternampak seorang lelaki telah keluar dari rumah mangsa yang menaiki motosikal jenis SYM pada petang hari kejadian.
Susulan daripada itu, polis menahan suspek berusia 29 tahun yang tinggal di taman perumahan yang sama untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal telah mendapati suspek yang berada dibawah pengaruh syabu telah meminjam motosikal rakannya untuk pergi bersiar-siar sebelum memberhentikan motosikalnya di lorong belakang rumah mangsa.
Dia kemudian memanjat tembok pagar belakang rumah mangsa dan membuka cermin tingkap lalu masuk ke dalam rumah melalui tingkap tersebut.
Tambah Chong Chern lagi, suspek kemudian ke bilik tidur bahagian bawah dan ternampak mangsa sedang tidur di atas katil dengan hanya memakai seluar tanpa baju.
"Suspek mengaku telah telah merogol dan meliwat wanita berkenaan serta menyumbat seluar dalam ke mulutnya kerana mangsa melawan dan menjerit.
"Dia juga mengakui telah menekup mulut mangsa dengan tangan kerana berang wanita itu masih melawan dan menjerit. Mangsa dipercayai meninggal dunia kerana lemas (tidak boleh bernafas)," ujarnya.
Suspek dikatakan masih merogol dan meliwat wanita malang itu beberapa kali meskipun menyedari mangsa telah meninggal dunia. Dia kemudian menyorokkan mayat mangsa di bawah katil.
Tidak cukup dengan itu, suspek juga telah menggeledah rumah mangsa dan mengambil sebuah telefon bimbit, wang tunai dan loket. Selepas keluar dari rumah mangsa, suspek kemudian menyerah kembali motosikal rakannya dan pulang ke rumahnya dengan berjalan kaki.
Chong Chern memberitahu, pihak polis telah menahan suspek yang ditemui bersembunyi daripada ditahan polis di Changkat Sungai Jawi.
"Polis merampas beberapa barangan antaranya motosikal, baju dan seluar, manakala suspek direman untuk siasatan lanjut. Suspek juga telah membuang semua barang milik mangsa ke dalam sebuah sungai di lokasi berkenaan.
"Suspek mempunyai lima rekod lampau melibatkan dadah dan beberapa jenayah lain. Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperolehi," tambahnya.— Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram