CHINA mengharamkan penyiaran program realiti pencarian bakat di negara itu dan mengarahkan stesen televisyen supaya mempromosikan penampilan lelaki yang lebih maskulin.
Tindakan itu dilakukan bagi mengekang budaya pop yang 'tidak bermoral', dipercayai menyesatkan golongan muda.
Program pencarian bakat yang menampilkan ratusan bakat muda berkumpul dan bertanding dalam boot camp untuk merebut undian ramai semakin popular di negara itu.
Program berkenaan mendapat kritikan hebat kerana para peminatnya yang obses dan menonjolkan idola yang kurang sesuai dengan budaya tempatan.
"Institusi penyiaran dan televisyen tidak boleh menyiarkan rancangan pembangunan idola atau dan program realiti," kata Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional, merujuk kepada peraturan baharu negara itu.
Berdepan dengan penurunan kadar kelahiran, pihak berkuasa China sedang berusaha menerapkan nilai-nilai tradisional lelaki di negara itu dengan meningkatkan penyediaan kelas gim dan mengkritik penghibur lelaki yang berpenampilan seperti bintang K-Pop.
Stesen penyiaran juga diarahkan untuk tidak menyiarkan rancangan yang mempromosi 'konsep yang tidak normal' seperti lelaki 'lembut', 'pengaruh yang tidak sopan' serta artis dengan 'moral yang rendah'.
Sebaliknya, stesyen penyiaran diminta untuk "mempromosikan budaya tradisional China yang luar biasa... dan budaya sosialis yang maju".
Pihak berkuasa bertindak sedemikian setelah banyak skandal melibatkan beberapa selebriti terkenal negara itu sejak beberapa bulan lalu.
Pelakon, Zheng Shuang minggu lalu dikenakan denda bernilai $46 juta (RM191.3 juta) kerana mengelak cukai, manakala penyanyi kacukan China-Kanada dan bekas idola K-Pop, Kris Wu telah ditahan atas tuduhan rogol. — AFP
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram