Kantoi cuba curi komponen kereta


  • Tular
  • Rabu, 08 Sep 2021

SALAH seorang wajah suspek yang berjaya dirakam dalam video berkenaan. — Facebook

BARU-BARU ini tular satu video seorang lelaki merakam dua penjenayah yang cuba mencuri komponen sebuah kereta di kawasan Hotel De Palma Ampang, Kuala Lumpur.

Video berdurasi 1 minit 1 saat itu memaparkan lelaki itu menyoal dua orang suspek tentang apa yang mereka sedang lakukan.

Salah seorang penjenayah itu memberi alasan membaiki kereta tersebut dan kemudiannya, memasuki kereta mereka lalu beredar pergi.

Netizen yang melihat video berkenaan mahu penjenayah itu segera ditangkap.

Menurut seorang pengguna Facebook, Borhan Han, dia meminta sesiapa yang bekerja di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menjejaki nombor plat kereta penjenayah itu.

"Sesiapa yang kerja JPJ bolehlah trace nombor ini dan viral. Sama-sama kita jejak satu Malaysia," ujarnya.

Bagaimanapun, pengguna Facebook, Syed Romadhan mengatakan penjenayah bukanlah bodoh untuk mendedahkan nombor plat kereta mereka.

Tular 2

Kedua-dua suspek melarikan diri menaiki kereta. — Facebook VideoMalaysia

"Pencuri bukannya bodoh. Nombor plat tipu yang dipakainya. Ambil gambar muka (penjenayah) yang lebih baik," jelasnya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Are Red berkata, sebuah kereta berjenama Perodua Axia yang berada di sebelah kereta suspek berkemungkinan turut bersubahat.

"Kereta Axia hijau sebelah itu pun geng dia. Cover line halang diaorang buat kerja," menurutnya.

Dua penjenayah itu bagaimanapun berjaya diberkas oleh pihak polis di sekitar Sungai Besi pada pukul 11 malam pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua suspek itu merupakan warga tempatan berusia 24 dan 25 tahun telah ditahan.

“Semakan mendapati, suspek berusia 24 tahun mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah curi manakala rakannya tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Kita juga telah merampas dua tabung ekzos, dua penyambung tabung ekzos, pelbagai peralatan membuka ekzos, gergaji besi dan sebuah kereta jenis Proton Iriz,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Axia, De Palma Ampang, curi, kereta