EKSKLUSIF

'Taser gun' lebih selamat untuk 'sekolahkan' penjenayah


  • Massa
  • Khamis, 09 Sep 2021

ANGGOTA polis perlu menjalani latihan yang mencukupi bagi mengendalikan taser gun dengan baik. — Gambar hiasan/Agensi

PENGGUNAAN pistol perenjat elektrik (taser gun) adalah lebih selamat digunakan oleh pihak polis dalam usaha membanteras penjenayah.

Penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, kajian menunjukkan pistol perenjat elektrik lebih selamat daripada baton dan pistol.

"Senjata itu banyak digunakan di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura. Tambahan pula, Singapura merupakan negara yang mencatatkan bilangan kes jenayah paling rendah di rantau Asia Tenggara, jadi tiada salahnya kita mengikuti langkah mereka.

"Itu menunjukkan penggunaan pistol perenjat elektrik adalah sangat efektif di Singapura dan terdapat satu juta senjata tersebut digunakan oleh agensi penguatkuasaan seluruh dunia," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyifatkan pistol perenjat elektrik sebagai langkah terbaik bagi mengurangkan penggunaan senjata api terutama apabila berdepan dengan orang agresif atau mengamuk.

Tambah Akhbar, statistik juga menunjukkan lebih 250,000 nyawa dapat diselamatkan di negara-negara yang menggunakan pistol perenjat elektrik.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa seperti polis perlu menjalani latihan yang mencukupi supaya dapat mengendalikan pistol perenjat elektrik itu dengan baik. Selain itu, melalui latihan juga, pihak polis boleh menentukan bila masa yang sesuai untuk menggunakan pistol perenjat elektrik.

"Namun, apa sahaja teknologi yang digunakan oleh polis, bukan 100 peratus efektif tetapi dapat membantu mereka lebih efisien dan profesional dalam melaksanakan tugas membanteras penjenayah," ujarnya lagi.

Selain itu, Akhbar turut menyarankan agar penggunaan kamera badan diperkenalkan terlebih dulu kepada anggota polis.

"Kamera badan akan membantu dan menjadi bahan bukti dalam menentukan sama ada tindakan polis itu adalah betul ketika mereka menggunakan pistol perenjat elektrik terhadap penjenayah.

"Tetapi saya khuatir ada pihak yang tidak berintegriti cuba melakukan perkara yang kurang baik seperti memadamkan rakaman pada kamera berkenaan dan sebagainya, itu tidak elok," jelas beliau.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram