KERAJAAN perlu memastikan perlaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik berjalan dengan lancar untuk mengelak daripada menimbulkan kemarahan serta protes dalam kalangan masyarakat sivil, kata pakar.
Pakar juga mengulas tidak keperluan untuk melakukan pendaftaran secara automatik dalam kalangan pengundi 18 tahun memandangkan kepentingan ketika ini adalah memastikan pelaksanaan Undi18 dilakukan secepat mungkin mengikut tempoh yang ditetapkan.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan supaya pelaksanaan Undi 18 dipendekkan daripada tahun 2023 kepada 31 Disember ini, tetapi timbul persoalan sama ada pendaftaran undi secara automatik juga perlu dilaksanakan serentak.
Penganalis Politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata keputusan mahkamah tersebut undi muda perlu dilaksanakan, bagaimana pelaksanaan itu terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Arahan mahkamah itu perlu dilaksanakan sama ada secara pendaftaran automatik ke berdaftar ke itu terpulang pada SPR untuk memikirkannya tapi (Undi18) perlu dilaksanakan pada Disember ini,” jelasnya.
Dr Awang Azman berkata perlaksanaan undi 18 perlu dilaksanakan pada Disember ini sama ada serentak dengan pendaftaran pemilih automatik mahupun secara berdaftar.
Mengulas mengenai pendaftaran automatik, Azman berkata, beliau percaya SPR boleh menggunakan pengalaman yang dipelajari mereka daripada negara-negara luar.
“SPR sudah pasti akan kemukakan pelbagai masalah yang mungkin berlaku sekiranya ingin melaksanakan pendaftaran automatik, tapi saya percaya SPR telah pergi ke negara-negara luar, mereka sudah belajar tentang apa yang berlaku di negera-negara maju, dari segi teknologi (yang digunakan), mereka boleh belajar.
“Dari segi peruntukan untuk tujuan demokrasi, kerajaan perlu memastikan perkara ini dilaksanakan sedaya upaya, mana mungkin mereka tolak kemahuan rakyat.
“Jika terus berdolak dalik, ini akan meningkatkan kemarahan dan juga protes dalam kalangan masyarakat civil,” katanya kepada Majoriti.
Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh pada Mac berkata, persiapan pelaksanaan Undi18 terjejas disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) justeru, pendaftaran pemilih secara automatik dan Undi18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.
Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos pula mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Undi18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat bahawa fokus perlulah diberikan terhadap pelaksanaan Undi18 terlebih dahulu dan SPR perlu diberi masa untuk melakukan segala persediaan bagi melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik.
“Undi18 dengan pendaftaran pemilih secara automatik itu dua benda yang berbeza, pendaftaran pemilih secara automatik ini memang ada masalah sikit untuk dilaksanakan walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad kata kita ada data bank, atau big data yang boleh digunakan, tapi kita masih ada banyak perkara teknikal yang perlu diambil kira.
“Tapi Undi18 ini sudah selesai, Perlembangaan sudah dipinda, jadi kenapa tidak daftar dahulu (pemilih) seperti biasa,” jelasnya kepada Majoriti.
Dr Mohd Azizuddin berkata SPR perlu masa untuk melakukan segala persediaan bagi melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik.
Tambahnya sudah sampai masanya untuk kerajaan mengikut jejak langkah negara lain yang sudah lama membenarkan rakyat muda mereka untuk turut sama mengundi.
“Satu dunia, saya kira sudah lebih 70 peratus negara di dunia yang telah menguatkuasakan Undi18, ada yang lebih rendah macam Indonesia benarkan rakyat berusia 17 dan ada juga negara yang benarkan rakyat berusia 15 tahun.
“Generasi Z atau generasi alaf baharu ini mempunyai perspektif berbeza tentang politik berbanding generasi lama, generasi X dan Y.
"Mereka banyak dipengaruhi sosial media, maklumat yang mereka terima terlampau banyak dan sebab itu undi mereka ini unpredictable.
"Itulah yang dibimbangi parti politik sebab sekarang ada pelbagai krisis, krisis politik, ekonomi dan kesihatan jadi mereka bimbang dengan pattern undian yang tak boleh dijangka,” jelasnya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram