EKSKLUSIF

Undi18: Remaja Melayu belum matang


  • Massa
  • Isnin, 06 Sep 2021

PEMERHATI politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah meminta kerajaan bersikap lebih tegas dalam dasar yang telah ditetapkan memandangkan ia melibatkan masa depan negara. — AZLINA ABDULLAH/The Star

ANAK muda Melayu berusia 18 tahun dilihat kurang serius dalam perkara berkaitan kenegaraan dan kurang mengambil berat isu politik," kata pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Disebabkan itu beliau berpandangan bahawa kesediaan anak-anak muda berumur 18 tahun untuk mengundi pada pilihan raya umum (PRU) masih lagi belum mencukupi.

"Saya tidak setuju jika Undi18 ini dilaksanakan sekarang sebab kita dapat lihat kepada taraf kematangan anak-anak berusia 18 tahun ini masih belum mencapai tahap yang boleh melayakkan mereka untuk mengundi.

"Kematangan remaja Cina dan Melayu adalah berbeza yang mana remaja Cina lebih jelas dengan hala tuju mereka termasuklah dari segi politik. Maksudnya kalau suruh mengundi, mereka akan mengundi dan kita dapat lihat kesungguhan dan komitmen mereka.

"Tapi tak semua anak-anak Melayu seperti itu, bahkan pada umur 21 tahun ke atas pun mereka masih melihat politik dan peranan mengundi ini sebagai satu benda yang tidak serius. Saya tidak memandang rendah, tapi itulah hakikat dan boleh buat kajian pun mengenainya," katanya kepada Majoriti.

riduantee

Mohd Ridhuan Tee Abdullah — Gambar fail/The Star

Beliau berkata, perlaksanaan Undi18 ini perlu dilakukan secara serius dengan menyediakan pelbagai persiapan melalui kempen-kempen kesedaran kepada remaja terlebih dahulu agar mereka tahu kepentingan mengundi dalam sistem demokrasi dan sebagainya.

"Jika Undi18 ini memang perlu dilaksanakan, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membuat persediaan terlebih dahulu memandangkan ia melibatkan masa depan negara.

"Terangkan kepada anak muda tentang betapa seriusnya mereka untuk mengundi walaupun tidak terlibat dengan politik dan sebagainya supaya mereka menjadi lebih serius dan matang tentang kedudukan negara.

"Ibu bapa pun perlu mainkan peranan, tekankan perkara-perkara yang melibatkan masa depan negara sebab anak Melayu ramai yang anggap perkara ini tidak penting," katanya.

Pada masa sama, beliau turut berkata bahawa tiada keperluan yang mendesak untuk melaksanakan Undi18 di negara buat masa ini.

"Undi 18 ini bukanlah perkara baharu, jadi kenapa mahu terburu-buru. Banyak lagi negara lain yang masih menetapkan syarat undi untuk mereka yang 21 tahun ke atas.

"Dalam keadaan sekarang, fokus perlu diberikan kepada perkara yang lebih penting seperti vaksinasi Covid-19.

"Tapi kita tahu siapa yang beria-ia mendesak untuk melaksanakan Undi18 tahun ini, apatah lagi mereka ini sudah kehilangan kuasa dan mungkin inilah masa yang dinanti-nantikan. Mereka mahu ia dilaksanakan sebelum PRU 15 supaya mereka dapat undi dalam PRU itu," katanya.

Beliau juga meminta agar kerajaan bersikap lebih tegas dalam dasar yang telah ditetapkan memandangkan ia melibatkan masa depan negara.

"Perlu ada penegasan daripada kerajaan. Sepatutnya kita sudah lama maju, tapi kita (kerajaan) tidak ada penegasan dalam membina negara.

"Lihatlah Indonesia, mereka sudah mula meninggalkan kita walaupun kepadatan penduduk dia lebih jauh dari kita.

"Masalahnya, kita (kerajaan) tidak tegas bila keputusan dibuat, sepatutnya keputusan perlu dipertahankan. Tapi bila ada desakan perlu pun dah goyang, inilah politik kita yang merugikan bangsa dan negara," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuching pada Jumaat memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan keputusan menangguh pelaksanaan pindaan Undi18 sebelum September 2022.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew semasa prosiding dalam talian berkata kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga diarahkan melaksanakan pindaan Undi18 itu sebelum 31 Disember ini.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram