Pangkalan data atlet mampu atasi isu kroni, pilih kasih


  • Podium
  • Rabu, 08 Sep 2021

DATA yang direkod ketika latihan dan pertandingan boleh dijadikan rujukan penilaian prestasi. — Reuters

PANGKALAN data menjadi antara jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi isu pilih kasih dalam kalangan penggiat sukan di negara ini khususnya di peringkat akar umbi.

Walaupun isu kronisme dan favouritism tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, rujukan kepada data yang dikumpul mampu jadi bukti kukuh mahu pun resume terbaik buat seseorang atlet.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, persatuan kebangsaan juga perlu main peranan untuk pastikan pemilihan dibuat secara telus.

“Paling penting adalah persatuan kebangsaan atau pun kelab sukan perlu ada data sebagai rujukan penilaian atlet.

“Di United Kingdom misalnya, data atlet sukan individu seperti olahraga dimasukkan dalam sistem dan penilaian atau pun pemilihan dibuat berdasarkan rekod mahupun catatan mereka lakukan.

“Untuk atlet sukan berpasukan, persatuan sukan kebangsaan perlu hantar scouting untuk pantau sesuatu pertandingan. Begitu juga kalau pertandingan peringkat daerah, perlu ada pemantau untuk melihat semula pilihan cikgu (yang bertindak sebagai jurulatih).

“Apabila sudah ada kumpulan atlet, mereka akan latih ikut umur dan semua catatan direkodkan. Ini juga boleh dibawa dan gunapakai di Malaysia,” katanya kepada Majoriti.

Majoriti sebelum ini melaporkan netizen akui kronisme seakan jadi 'barah' kepada industri sukan negara sejak zaman sekolah.

Dalam masa sama, Mohd Sadek berkata, pihak swasta juga menabur bakti dengan memperbanyakkan program sukan di peringkat akar umbi un tuk mencari bakat-bakat baharu.

“Program Mencari Ramli dan MyTeam antara program yang menarik. Panel pemilihan turun ke semua tempat untuk mencari bakat baharu yang mungkin terlepas pandang.

“Sebenarnya, pelbagai pihak perlu main peranan dalam jalinkan kerjasama. Kalau di UK sudah ada photo finish di stadium daerah, kita juga boleh buat dan untuk ini kerajaan tempatan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh kerjasama,” katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sukan, atlet, Mohd Sadek, kroni