'Jangan bebankan rakyat dengan dasar negatif'


  • Massa
  • Khamis, 02 Sep 2021

MALAYSIA perlu ada dasar menyatukan rakyat demi kesejahteraan sistem sedia ada. — The Star
PEMIMPIN dan kerajaan perlu berfikir secara mendalam untuk tidak membebankan rakyat dengan dasar-dasar negatif demi mencapai kemajuan masa depan, kata usahawan serta dermawan Tan Sri Jeffrey Cheah.

Mengambil contoh Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), pengasas dan pengerusi Sunway Group itu menyifatkan program itu sebagai dasar yang amat kurang memberi motivasi serta perlu diteliti semula.

Beliau mengulas tentang pelaksanaan peraturan yang lebih ketat terhadap pemohon (warga asing) program ituyang diperkenalkan pada 2002 selepas ia menyumbang RM40.6 billion daripada sejumlah 21,841 permohonan yang diluluskan bagi tempoh hingga 2018.

Antara syarat-syarat baharu yang dikenakan kepada warga asing termasuk mereka perlu membuktikan pemilikan aset cair berjumlah RM500,000 hingga RM1.5 juta bergantung kepada usia.

Mereka juga perlu memiliki pendapatan bulanan luar pesisir sekurang-kurangnya sebanyak RM40,000 dan perlu berada dalam negara sekurang-kurangnya selama 90 hari dalam negara bagi setiap tahun.

Dalam pada itu, visa yang dikeluarkan melalui MM2H kini sah bagi lima tahun dan penggunaannya adalah sah bagi 10 tahun.

Cheah bagaimanapun berkata peraturan baharu berkenaan menyukarkan inisiatif MM2H berbanding pemberian insentif.

"Kita mempelawa mereka untuk melabur dalam bentuk (pembelian) sebuah rumah di sini.

"Adalah tidak wajar untuk mengusir mereka secara tiba-tiba selepas mereka membawa masuk berbilion dolar untuk menetap di sini dan membawa masuk pelancong yang memudahkan serta dapat menjana banyak wang tunai dalam industri pelancongan.

"Kenapa perlu membuat perubahan mendadak?” katanya pada satu temu bual baru-baru ini.

Cheah juga menekankan kepentingan bagi Malaysia mempunyai dasar bersesuaian yang dapat menghidupkan semula perniagaan, menyuntik keyakinan serta mempercayai kerajaan dan institusi selain dapat menyatukan rakyat demi kesejahteraan sistem sedia ada.

Oleh itu beliau menggesa penggubal polisi Malaysia agar merangka dasar-dasar luar biasa bagi membantu negara menangani cabaran akibat pandemik Covid-19.

"Kita sememangnya dalam keadaan sukar dengan kerugian yang dialami mencecah jutaan ringgit serta tidak lagi mampu untuk memastikan makanan dapat disajikan (untuk diri sendiri mahu pun keluarga).

" Apa terbaik sekarang adalah bertindak berani untuk mengetengahkan inisiatif-insiatif, dasar serta belanjawan berbeza daripada pendekatan lama dengan mengambil kira kesengsaraan rakyat biasa,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jeffrey Cheah, mm2h, dasar, sunway