BKC penting untuk rakyat terkesan


  • Bizz
  • Khamis, 02 Sep 2021

Bantuan tersebut mampu mengurangkan kesan wabak terutama kepada golongan miskin tegar.—AZMAN GHANI/The Star

PAKAR ekonomi menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito berkata, bantuan tersebut mampu mengurangkan kesan wabak itu terutama kepada golongan miskin tegar.

"Ia adalah satu usaha yang baik dari kerajaan yang mana memberi bantuan kepada golongan yang terkesan.

"Bantuan yang dilaksanakan itu amat diperlukan dalam polisi kerajaan. Polisi sedia ada kelihatan tidak seimbang bagi golongan miskin," katanya.

Ujarnya, bantuan yang disalurkan perlu mencapai objektif yang telah ditetapkan.

"Bantuan itu hanya bantuan semata-mata dan tidak mendorong kepada pemulihan ekonomi dan inisiatif ini adalah langkah sementara dan keadaan ini harus dilihat dengan jelas.

"Adalah sangat penting bagi kerajaan untuk memgembalikan semula keadaan asal yang mana rakyat yang terkesan dapat kembali bekerja sekaligus mampu menampung kehidupan dan memiliki simpanan. Ketika itu, bantuan seperti ini tidak lagi diperlukan," katanya.

Sementara itu, Ketua ekonomi AmBank Group, Anthony Dass turut berpendapat keputusan kerajaan membantu kumpulan B40 dan M40 adalah langkah yang terbaik.

"Mereka terjejas sejak tahun lalu dan tidak semua mampu berdepan dengan keadaan sekarang. Walaupun bantuan ini dilihat sebagai langkah sementara, tapi ia lebih baik daripada tidak ada," katanya.

Katanya, apa yang perlu difokuskan buat masa ini adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan B40 dan M40.

"Pasti ada jalan untuk membantu golongan yang terkesan ini," katanya.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram