LEBIH satu juta peggiat, artis dan pekerja dalam industri kreatif mampu menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 industri berkenaan.
Kebenaran ini akan berkuatkuasa pada Khamis.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berharap dapat beri kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan.
“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
“Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.
“Industri kreatif menyumbang sebanyak 2 peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.
“Selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dengan kelulusan ini, secara tidak langsung ia akan menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana).
“Saya ingin menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini,” katanya.
Berikut adalah aktivit yang dibenarkan.
1. Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung
2. Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio
3. Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin
4. Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin
5. Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin
6. Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam
7. Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang premis
8. Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30% di ruang premis. - Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram