'Jika tidak sekarang, kami kena tunggu tahun depan'


  • Massa
  • Rabu, 08 Sep 2021

BEBERAPA wakil penerima mengangkat sumbangan bakul makanan yang disumbangkan untuk penggiat industri pelancongan di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang pada Isnin lalu. — Bernama

SEBILANGAN pengusaha pelancongan di Pulau Tioman, Pahang menggesa kerajaan agar membenarkan penganjuran aktiviti air di destinasi berkenaan dalam tempoh dua bulan sebelum musim tengkujuh bermula.

Gesaan itu dibuat selepas rata-rata pengusaha chalet terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak mampu membayar gaji selain kekurangan wang bagi meneruskan perniagaan akibat ketiadaan para pelancong.

Menurut Ketua Kampung, Kampung Juara, Ab Razib Ali Awang, 55, kebenaran bagi menjalankan aktiviti itu dapat menghidupkan semula ekonomi masyarakat di situ yang kehilangan punca rezeki apabila sektor pelancongan tidak beroperasi akibat pandemik Covid-19.

"Bantuan Program Subsidi Upah yang diberikan kerajaan memang sangat membantu kami membayar pekerja tetapi kami masih perlu menanggung bil utiliti dan pinjaman bank selain perlu mencari pendapatan bagi menyara keluarga.

"Sebab itu kami berharap supaya kelonggaran untuk kami mulakan semula aktiviti air dengan segera, bagi menarik kehadiran pelancong dari dalam negeri,” ujarnya.

Ab Razib yang mengusahakan Chalet Tioman Santai Resort di kampung tersebut, berkata, mereka cuba mencari pendapatan dengan menjual buah namun tidak mendatangkan hasil yang banyak memandangkan pembeli hanya terdiri daripada penduduk di pulau itu.

Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha chalet, Syed Rizalman Syed Abu Bakar, 46, pula berkata, kelonggaran untuk melaksanakan aktiviti pantai wajar diberikan untuk penggiat industri di pulau berkenaan, memandangkan kira-kira 80 peratus penduduk dewasa di situ sudah lengkap vaksinasi.

"Kami berharap satu kelebihan atau peluang diberikan kepada penggiat pelancongan di sini kerana kami ada kurang dua bulan untuk berniaga kerana bakal berhadapan dengan musim tengkujuh selama empat bulan bermula November.

"Jika keistimewaan ini tidak diberikan kami terpaksa menunggu tahun depan untuk beroperasi sepenuhnya. Ia memberi kesan teruk kepada pendapatan pemain industri dan saya sendiri sudah memberhentikan lapan pekerja sejak wabak Covid-19 semakin buruk awal tahun lepas,” jelasnya.

Tambah Syed Rizalman, sekiranya aktiviti air dibenarkan walaupun untuk tempoh yang singkat, mereka sekurang-kurangnya boleh menabung semula wang simpanan yang semakin susut selepas berjimat cermat sepanjang pandemik.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, pihaknya mendapati penggiat industri di Pulau Tioman bersedia untuk menawarkan aktiviti pelancongan kepada pengunjung dan berharap mereka dapat bersabar menunggu pengumuman khabar baik daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Seperti diketahui umum, kebergantungan penduduk di sini terhadap aktiviti pelancongan adalah tinggi dan dengan pembukaan sektor tersebut ia dapat menggalakkan semula ekonomi di kawasan berkenaan melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Bagaimanapun, kami mengharapkan kerjasama daripada kedua-dua pihak sama ada penggiat industri mahupun bakal pengunjung supaya SOP yang ditetapkan harus dipatuhi dan diamalkan demi kebaikan semua pihak,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram