SEKATAN di sempadan negara khususnya di lokasi pelancongan tidak hanya menjejaskan pemain industri sebaliknya turut beri kesan kepada ekosistemnya.
Situasi itu juga yang sedang dihadapi penduduk Bali apabila banyak monyet di pulau peranginan itu berdepan masalah kelaparan sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk setempat.
Jika sebelum ini haiwan berkenaan cukup jinak dengan pelancong yang memberikan makanan, kini semuanya berubah hingga berlaku ‘pencerobohan’ di rumah penduduk.
Penduduk di Sangeh ada mengatakan yang monyet di Sangeh Monkey Forest berkeliaran sejauh 500 meter dan ‘berkunjung’ ke rumah mereka untuk mendapatkan sumber makanan.
Bimbang dengan serangan monyet, ada penduduk mengambil inisiatif membawa buah-buahan, kacang dan makanan lain ke Sangeh Monkey Forest.
“Kami takut monyet yang lapar bertindak liar dan ganas,” kata seorang penduduk, Saskara Gustu Alit.
Terdapat kira-kira 600 ekor monyet ditempatkan di hutan simpan berkenaan dan sebelum ini cukup jinak mendekati pengunjung.
Pada kebiasaannya sebelum pandemik Covid-19, pelancongan menjadi sumber pendapatan utama buat empat juta penduduk Bali yang menyambut lebih lima juta pelancong asing dalam tempoh setahun.
Begitu juga dengan Sangeh Monkey Forest yang menerima kunjungan 6,000 pengunjung setiap bulan namun sejak pandemik jumlahnya turun mendadak dan hanya merekodkan 500 orang.
Tidak hanya kehilangan pendapatan menerusi bayaran masuk, Sangeh Monkey Forest juga mula kehabisan wang untuk membeli makanan haiwan itu yang dianggarkan $60 (RM248) sehari.
Menurut pengurus operasi Made Mohon, ada juga sumbangan diberikan oleh penduduk kampung.
“Pandemik berpanjangan ini jelas di luar jangkaan kami. Makanan monyet juga menjadi salah satu masalah,” kata Made Mohon. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram