'Jangan takut minta nasihat kewangan'


  • Massa
  • Rabu, 08 Sep 2021

SITUASI pandemik Covid-19 menyebabkan banyak perniagaan berdepan kerugian dan ada yang terpaksa gulung tikar. — Agensi

PEMILIK perniagaan dinasihatkan agar tidak takut atau malu untuk mendapatkan bantuan daripada pakar kewangan sewaktu tempoh sukar ketika pandemik ini supaya dapat menguruskan keadaan kewangan mereka dengan lebih baik serta mengorak langkah ke hadapan.

Timbalan Presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC), Desmond Chong berkata, ramai perancang kewangan berlesen bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan pelan secara analisis bagi memberikan pemilik perniagaan gambaran lebih jelas mengenai kedudukan kewangan mereka.

"Sekiranya anda melaksanakan Pelan B atau hanya meminta bantuan untuk membawakan pendekatan baharu kepada anda, mungkin sudah tiba masanya untuk menyusun semula pinjaman atau mendapatkan pinjaman baharu atau barangkali sudah tiba masanya untuk menyusun semula syarikat anda.

"Oleh itu, sangat penting bagi perniagaan untuk mempunyai pelan dan pastikan anda memantaunya,” jelasnya.

Tambah Chong, pemilik perniagaan juga tidak sepatutnya merasakan terlalu lambat untuk memulakan pelan baharu meskipun operasi mereka sudah berdepan masalah.

"Ia suatu yang baik apabila kita boleh bermula sekali lagi dan membuat perancangan.

"Jika pelan itu bukan untuk kita berjaya, ada pelan untuk kita keluar darinya, jadi untuk mengatasi masalah anda, sila kunjungi MFPC kerana kami sentiasa bersedia untuk membantu anda,” menurut beliau lagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram