PEJABAT Peguam Negara digesa supaya tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mahkamah, supaya Kerajaan Persekutuan membatalkan keputusan menangguh pelaksanaan pindaan Undi18.
Dalam satu kenyataan, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata,sudah tiba masanya untuk mengembalikan hak menyertai proses demokrasi kepada anak muda Malaysia.
“YAB Perdana Menteri boleh mengorak langkah baharu yang lebih progresif dengan mengambil jalan berbeza dengan Perdana Menteri terdahulu dengan membantu pelaksanaan #UNDI18 dengan kadar segera.
“Inisiatif yang mendapat sokongan merentas parti dan persetujuan lebih dari dua pertiga ahli dewan rakyat sepatutnya tidak lagi dilengah-lengahkan,” katanya yang menyambut baik keputusan mahkamah itu.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuching pada Jumaat memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan keputusan menangguh pelaksanaan pindaan Undi18 sebelum September 2022.
Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew semasa prosiding dalam talian berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga diarahkan melaksanakan pindaan Undi18 itu sebelum 31 Disember ini.
Siew membenarkan permohonan yang difailkan lima anak muda Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu yang tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram