CADANGAN perlaksanaan Undi18 memberi isyarat yang cukup baik kepada negara kerana ia membuktikan demokrasi yang diamalkan di negara ini telah membuahkan hasil, kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib.
Menurutnya, cadangan untuk memberikan kepercayaan kepada remaja berusia 18 tahun mengundi sepatutnya perlu diberikan ruang tanpa perlu dipolemikkan.
"Pendemokrasian dalam bidang pendidikan penting kepada kematangan untuk sesebuah negara.
"Jadi tidak perlu terkejut apabila cadangan ini diutarakan kerana ia satu isyarat yang cukup baik kerana menandakan bahawa usaha-usaha yang telah dilakukan kerajaan sejak kemerdekaan hingga hari ini, berjaya memupuk satu perkembangan yang sihat," katanya kepada Majoriti.
PENGANALISIS politik UUM, Md Shukri Shuib. — Gambar kredit/Sinar Harian
Md Shukri berkata, umur bukanlah kayu pengukur yang boleh menentukan kematangan seseorang dan ia tidak seharusnya menjadi persoalan yang besar kepada perlaksanaan Undi18.
"Kalau kita kata umur 18 tahun tak matang jadi umur berapa yang matang? Ada orang tua pun tidak matang, macam sesetengah ahli politik yang bersikap acuh tak acuh.
"Kematangan ini tidak diukur kepada usia sahaja tapi pada pelbagai aspek. Isu ini bukan berdasarkan umur tapi pada soal pengetahuan dan juga keupayaan minda seseorang," katanya.
Menurutnya, sekiranya remaja usia 18 tahun dicadangkan mendapat akses untuk mengundi, ia adalah satu cabaran baharu untuk Malaysia dan ini sudah pasti akan ada kebaikan dan keburukannya.
"Kita harus memberi ruang, mungkin benar ada permintaan-permintaan dari anak-anak muda dan rakyat juga yakin remaja 18 tahun itu boleh buat keputusan dengan baik.
"Jika masyarakat beranggapan ia mampu dilaksanakan, maka tidak salah untuk kita mencuba sebab kita pun perlukan orang muda yang ada kreativiti serta kredibiliti," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuching pada Jumaat memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan keputusan menangguh pelaksanaan pindaan Undi18 sebelum September 2022.
Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew semasa prosiding dalam talian berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga diarahkan melaksanakan pindaan Undi18 itu sebelum 31 Disember ini.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram