Nasib institusi memandu, bas ekspres diketahui tak lama lagi


  • Primer
  • Isnin, 06 Sep 2021

KA SIONG berharap semua pihak berkaitan institusi memandu dan bas ekspres dapat bersabar buat sementara waktu. — The Star

PENYELESAIAN masalah yang dihadapi institusi memandu dan syarikat bas ekspres akan diumumkan tidak lama lagi, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menteri Pengangkutan berkata, isu berkenaan yang dibangkitkan menerusi sesi dialog secara online turut membincangkan pembukaan semula institusi memandu termasuk masalah lain yang turut memberi kesan kepada pengusaha bas ekspres yang masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

“Cadangan yang melibatkan kedua-dua sektor ini akan dibincangkan secara terperinci dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)

"Bagi mencari jalan keluar untuk masalah yang melanda industri ini, ini disebabkan kerana mereka masih tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19.

Screenshot 2021-09-05 214841

SESI dialog secara online oleh Ka Siong dan beberapa orang yang lain bagi membincangkan pembukaan semula institusi memandu dan masalah lain, yang turut memberi kesan kepada pengusaha bas ekspres semalam.

"Kami berharap agar semua pihak yang berkaitan dapat bersabar untuk beberapa ketika.

"Kementerian Pengangkutan akan membuat pengumuman mengenai perkara ini setelah mengadakan perbincangan dengan kementerian yang berkaitan," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad.

Turut serta dalam sesi dialog itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli; Pengerusi Majlis Piawaian Dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (MAPIM), Datuk Hanafi Mat Zin; Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia, Tan Yang Kiong; Setiausaha Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia, Teo Kock Kee dan Pengerusi Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar.

Manakala bagi bas ekspres pula disertai Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM), Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA) dan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram