'PM tak boleh miliki wang banyak-banyak'


  • Politik
  • Isnin, 06 Sep 2021

DR Mahathir berkata, rakyat berhak mendakwa seseorang Perdana Menteri sebagai mendapat wang secara haram apabila menjadi jutawan. — Gambar Fail/AFP

PERDANA Menteri tidak boleh memiliki wang yang banyak, malah penerimaan derma juga salah meskipun ia diberi dengan ikhlas, kata Tun Dr Mahathir Mohamed.

Bekas Perdana Menteri paling lama menerajui negara itu berkata, sekiranya seseorang Perdana Menteri ada menerima wang, ia perlu disumbangkan kepada parti dan menjadi kesalahan sekiranya wang berkenaan masuk ke dalam akaun peribadi.

Malah, katanya, jika ada dakwaan bahawa tokoh negara asing yang memberi derma tetap disifatkan sebagai salah, meskipun untuk apa sahaja tujuan.

“Ahli Politik dalam negeri tidak boleh terima hadiah atau derma dari negara asing kerana ini memberi peluang kepada negara asing untuk campur tangan dalam politik dalam negeri.

“Oleh sebab itu segala kekayaan Perdana Menteri yang didapati selepas ia menjadi PM hendaklah dianggap sebagai haram dan boleh dirampas oleh pihak yang berkuasa,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, namun difahamkan kenyataan itu ditujukan kepada bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak yang mendapat wang derma sebanyak RM2.6 bilion (US$620 juta) daripada raja Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menegaskan, rakyat berhak mendakwa seseorang Perdana Menteri sebagai mendapat wang secara haram apabila menjadi jutawan.

Dr Mahathir berkata, Perdana Menteri kebiasaannya tidak kaya dan sekiranya benar dakwaan pemimpin itu kaya, maka sudah sudah tentu dia diisytihar memiliki kekayaan ketika dilantik menjawat jawatan berkenaan.

“Bahkan awal-awal lagi dia dikenali sebagai orang kaya, sebagai jutawan. Jika dia tidak dikenali sebagai orang kaya, maka ini juga akan diketahui oleh masyarakat,” jelasnya.

Dr Mahathir memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4 pada Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan beliau dilantik semula menjadi Perdana Menteri ke-7 pada Mei 2018 hingga Mac 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mahathir, derma, Perdana Menteri