Polis tahan lima suspek sindiket penipuan ‘online’


  • 112
  • Jumaat, 03 Sep 2021

SINDIKET penipuan dalam talian yang ditumpaskan di Lembah Klang baru-baru ini beroperasi sejak Mac lalu dan menyasarkan mangsa dari China. —The Star

DUA warga asing antara lima individu yang ditahan ketika serbuan di dua premis sekitar Lembah Klang pada Khamis, susulan terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian.

Serbuan di pusat panggilan sindiket itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dengan kerjasama Bahagian Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Menerusi serbuan itu, Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menahan dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 48 tahun.

Pihaknya juga berjaya merampas empat komputer riba, 11 telefon bimbit, dua router dan dua modem bagi membantu siasatan.

Katanya, modus operandi sindiket adalah memperdaya mangsa supaya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang diberi, bagi mendapatkan komisen untuk setiap tugasan dijalankan.

"Siasatan awal mendapati sindiket beroperasi sejak Mac lalu dan menyasarkan mangsa dari China.

"Kedua-dua premis pula didapati disewa RM1,500 sebulan untuk setiap unit. Semua suspek direman hingga Isnin depan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam satu kenyataan,

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

scam, China, polis