Nenek cucu dua antara 17 individu ditahan berpesta liar


  • 112
  • Sabtu, 04 Sep 2021

POLIS menahan 17 individu yang melanggar SOP dan berpesta liar. — Facebook
SEORANG nenek antara yang 17 individu yang ditahan polis ketika leka berpesta liar termasuk menghisap dadah di sebuah apartmen di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Selain nenek berusia 54 tahun yang mempunyai dua cucu itu, seorang remaja 13 tahun juga ditahan dalam serbuan tersebut.

Polis turut merampas pil ekstasi dan ketamin seberat 13.61 gram bernilai RM864 serta satu set kunci, kad akses premis dan sebuah pembesar suara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata kesemua individu yang ditahan terdiri daripada sembilan wanita dan lapan lelaki tempatan berumur lingkungan 13 hingga 54 tahun.

Sahar berkata hasil siasatan awal mendapati bahawa penganjur parti liar adalah seorang wanita tempatan berumur 23 tahun bertujuan menyambut hari lahir.

"Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati seramai empat lelaki dan empat wanita disahkan positif syabu dan ketamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kesemua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk direman selama empat hari hingga Isnin depan.

Kesemua mereka turut dikompaun RM2,000 setiap seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (2) 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

nenek, parti liar