Premis salun rambut tawar khidmat seks ikut pintu belakang diserbu


  • 112
  • Isnin, 06 Sep 2021

ANTARA mereka yang ditahan di sebuah premis salun rambut yang dipercayai menawarkan khidmat seks pada Ahad. — Sinar Harian

SERAMAI tiga wanita warga asing ditahan dalam satu operasi serbuan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang ke atas sebuah premis salun rambut yang menawarkan perkhidmatan seks pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, serbuan yang dilakukan jam 4.30 petang itu hasil risikan dan maklumat awam berkaitan aktiviti tidak bermoral yang dilakukan kumpulan wanita itu dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan tetap.

"Pelanggan akan menghubungi penjaga melalui aplikasi WhatsApp dan membuat tempahan bagi mendapatkan perkhidmatan sebelum datang ke premis itu.

"Ketika serbuan dibuat, tiga wanita warga asing yang berumur antara 22 tahun hingga 25 tahun sedang leka melayan tiga pelanggan yang berumur antara 43 tahun hingga 48 tahun yang berada di dalam premis itu," katanya pada Isnin.

Rahimi berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang perempuan warga tempatan berusia 48 tahun yang merupakan pemilik premis tersebut.

Tambah Rahimi, kegiatan persundalan itu beroperasi di premis yang telah diubah suai itu dibuka melalui pintu belakang bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.

Ujarnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan untuk tindakan lanjut.

"Kesemua tangkapan disiasat dibawah Seksyen 372A Kanun Keseksaan, Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram