TIGA lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dengan sindiket antarabangsa melibatkan penipuan tawaran kerja dalam talian ditahan pihak polis dalam satu serbuan di sebuah kondominum mewah di Taman Desa Skudai, Johor Bahru, Khamis lalu.
Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama polis Singapura ketika serbuan berjaya menahan kesemua suspek berumur antara 21 hingga 27 tahun di unit kondominium yang dipercayai menjadi pusat operasi sindiket antarabangsa penipuan tawaran pekerjaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan siasatan, sindiket yang dipercayai beroperasi sekitar Jun tahun ini, menggunakan kemudahan media sosial seperti Instagram dan Facebook menawarkan peluang kerja sebagai ejen syarikat untuk membeli barangan yang diiklankan melalui platform e-dagang.
“Pembelian itu didakwa untuk menaikkan rating dan nilai jualan syarikat berkaitan yang menjanjikan pendapatan harian antara RM200 hingga RM300.
“Mangsa yang berminat akan menerima mesej melalui WhatsApp yang mengandungi pautan untuk barangan yang perlu dibeli malah bagi setiap barangan yang dibeli, mangsa akan dibayar semula nilai barangan yang dibeli berserta tambahan komisen lima hingga lapan peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Kamarudin berkata proses pembelian dan bayaran semula akan berulang dimulai dengan barangan murah namun apabila mangsa membuat pembelian barangan yang mahal, bayaran balik tidak lagi dibuat atas alasan masalah pemindahan wang.
Beliau berkata mangsa seterusnya diminta membuat bayaran ke dalam akaun keldai kononnya sebagai yuran pemprosesan, penalti cukai, tukaran wang asing dan sebagainya.
“Mangsa hanya akan sedar ditipu apabila wang yang dijanjikan tidak diterima walaupun mereka telah membuat pembayaran wang.
“Berpandukan kepada rampasan yang dibuat, dipercayai sindiket ini mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis melibatkan mangsa di Singapura dengan nilai kerugian SG$690,000 (RM2.15 juta) dan sekurang-kurangnya satu laporan polis di Malaysia melibatkan kerugian RM21,700,” katanya.
Mohd Kamarudin berkata hasil siasatan mendapati kesemua lelaki yang ditahan berperanan untuk memindahkan wang hasil penipuan daripada akaun keldai ke akaun e-wallet yang diberikan oleh pihak atasan sindiket.
“Mereka ini ditugaskan untuk membuat pembelian mata wang kripto (usdt) dan menerima komisen 0.2 peratus dengan nilai anggaran SG$600 (RM1,800) setiap hari. JSJK dan polis Singapura sedang berusaha untuk mengesan saki-baki sindiket ini yang masih bebas.
“Selain itu, polis turut merampas antaranya dua unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, 12 keping kad ATM, dua unit penghala (router) dan beberapa dokumen berkaitan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Mohd Kamarudin menasihatkan agar orang ramai sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya agar tidak menjadi mangsa kepada kegiatan penipuan sebegini.
“Hubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-26101559/1599 sekiranya mempunyai sebarang keraguan mahupun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersial,” katanya.
Dalam pada itu, JSJK menerima 164 laporan polis berkaitan penipuan tawaran kerja ejen jualan platform e-dagang di seluruh negara melibatkan kerugian dianggar bernilai RM2.9 juta setakat 12 Julai lepas.— Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram