KECUAIAN pemandu mabuk yang mengakibatkan kecederaan dan kematian pengguna jalan raya yang tidak bersalah semakin membimbangkan, apatah lagi sekiranya keluarga mangsa tidak dapat menuntut keadilan.
Meskipun undang-undang dilaksanakan ketat, namun aktiviti penguatkuasaan yang kurang akan menyebabkan masyarakat bersikap sambil lewa kerana tidak nampak akibat di sebalik perbuatan dilakukan pemandu mabuk.
Pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah dikuat kuasa pada Oktober tahun lalu.
Pindaan itu membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan berkaitan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.
Menyambut baik pindaan akta itu, Pakar Keselamatan Jalan Raya Prof Dr Law Teik Hua berkata, ia penting sebagai asas undang-undang bagi menentukan tahap hukuman pemandu mabuk yang melanggar peraturan di jalan raya.
Tidak mengira sesiapa yang bakal dilantik menjadi Menteri Pengangkutan, Teik Hua berkata, beliau bersetuju sekiranya hukuman kepada pemandu mabuk terbabit dipertingkatkan.
“Jika tanpa (mangsa) kematian, kita gunakan undang-undang sedia ada, jika sampai perlu masuk penjara, go ahead.
“Jika dengan kematian, memang ada manslaughter law (membunuh tanpa niat) yang cukup berat sampai mereka boleh didakwa masuk ke penjara.
“Tapi jika ada cadangan nak bagi berat hukuman itu seperti memanjangkan jangka masa ke penjara, I think this is very good,” ujarnya kepada Majoriti.
Teik Hua bersetuju sekiranya hukuman kepada pemandu mabuk dipertingkatkan.
Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang berkaitan Pindaan Akta Pengangkutan Jalan kepada pemandu mabuk perlu dikekalkan.
Selain itu, katanya, sekiranya kes membabitkan pemandu mabuk yang melakukan kesalahan berjaya didakwa di mahkamah, maka media perlu mengambil peranan melaporkannya di akhbar sebagai pengajaran kepada orang ramai.
“Orang tak nampak law (undang-undang) ini dikuatkuasakan. Mungkin ada ramai pemandu yang bersalah sudah masuk ke penjara tetapi orang ramai tidak nampak. Jadi, inilah punca kegagalan dari segi penguatkuasaan undang-undang.
“Selagi tidak didedahkan dengan perkara ini, maka dia (pelaku) tidak akan takut,” katanya.
Turut bersetuju dengan Pindaan Akta Pengangkutan Jalan Raya itu, Pakar Jalan Raya Prof Dr Kulanthayan KC Man menyarankan supaya tidak perlu lagi pindaan akta baharu ketika ini kerana akta yang sedia ada itu adalah cukup ketat, selain belum diguna pakai sepenuhnya.
Katanya, ia perlu dioptimumkan terlebih dahulu dan sekiranya timbul sebarang masalah berkaitan pindaan itu, maka keperluan bagi cadangan baharu perlu dikaji.
Pada masa sama, Kulanthayan berkata, beliau turut mengesyorkan supaya had kandungan alkohol dalam darah diketatkan.
“Jadi, saya minta kalau kita nak lihat kemajuan dalam pemandu mabuk ini, kita perlu tingkatkan aktiviti penguatkuasaan.
“At least (Sekurang-kurangnya) perlu ada banyak roadblock (sekatan jalan raya), uji pemandu mabuk dan alatan menguji perlu cukup,” katanya.
Kulanthayan mengesyorkan supaya kandungan alkohol dalam darah diperketatkan.
Justeru, katanya, ia akan membuatkan pemandu-pemandu mabuk semakin bimbang untuk melakukan perjalanan kerana sudah pasti terdapat banyak sekatan jalan raya.
Selain itu, katanya, premis-premis yang menjual alkohol juga boleh memeriksa kandungan alkohol dalam darah ke atas pelanggan-pelanggannya bagi mengetahui sama ada mereka boleh memandu ataupun tidak.
“Kadang-kadang pelanggan tidak tahu tahap mereka okay ke tidak, dia kata okay boleh kawal, tetapi bila kita ukur baru kita tahu tahapnya tinggi atau tidak.
“Ukur dan beritahu dengan harapan pelanggan tidak bawa kenderaan. Cara alternatif sama ada panggil Grab, ahli keluarga atau kawan-kawan.
“Sekiranya, mereka datang secara berkumpulan, individu yang mempunyai tahap kandungan alkohol dalam darah yang perlu memandu,” katanya.
Memberi contoh luar negara, beliau berkata, lokasi yang mempunyai aktiviti berkaitan alkohol seperti restoran dan bar dipantau oleh pihak polis di luar premis.
“Polis parking di luar supaya memantau individu keluar dari premis dan akan terus tahan dan periksa mereka.
“Ini boleh dibuat di lokasi yang banyak premis (jual alkohol),” katanya.
Sebagai rekod, seorang lelaki berusia 22 tahun menjadi individu pertama di Pulau Pinang yang didakwa pada Oktober tahun lalu, di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 selepas dikuatkuasakan.
Tertuduh, Saw Yen Yew dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown kerana menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol.
Mengikut kertas pertuduhan, Yen Yew didakwa menunggang motosikal dalam keadaan melebihi kadar alkohol yang ditetapkan iaitu 125mg alkohol dalam 100 darah di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ketika ditahan jam 2.55 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.
Satu lagi insiden yang boleh diambil kira dalam menangani isu pemandu mabuk itu adalah kes kematian seorang penunggang lelaki selepas motosikal dinaiki dirempuh pemandu pacuan empat roda di Jalan Persiaran Lestari Perdana, Seri Kembangan, pada Februari lalu.
Dalam kejadian jam 9.28 malam, mangsa berusia 22 tahun itu meninggal dunia di lokasi akibat parah di anggota badan.
Hasil ujian pengesanan alkohol mendapati pemandu kenderaan itu berada di bawah pengaruh alkohol melebihi kadar dibenarkan.
Antara kes lain termasuk seorang penganggur yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian seorang pekerja kilang di Jalan Sungai Lembing pada Isnin lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000. — Majoriti