Vaksin pekerja: 'Kita kena duduk semeja, elak rakyat hilang pendapatan'


  • Massa
  • Sabtu, 04 Sep 2021

KERAJAAN berkata pekerja yang enggan mengambil vaksin boleh dikenakan tindakan undang-undang. — Bernama

KERAJAAN perlu mengadakan perbincangan tiga pihak dengan majikan dan pekerja bagi menyelesaikan isu vaksinasi di tempat kerja, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Timbalan Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani pihaknya melihat perkara itu daripada segi ‘menang-menang’ sebelum sebarang keputusan dibuat.

Jelasnya, kerajaan dan majikan perlu tahu sebab pekerja tidak ambil vaksin kerana hak kemanusiaan juga perlu diperhalusi.

“Saya tidak kata kenyataan itu salah atau betul. Seperti saya katakan, kita kena duduk semeja dan kerajaan juga perlu ada ketetapan jika ia mahu ambil tindakan kepada mana-mana individu yang tidak divaksin.

"Jika keputusan (pekerja) tidak ambil vaksin atas faktor kesihatan, (maka) tindakan (undang-undang) itu adalah tidak wajar," katanya kepada Majoriti.

Mohd Effendy juga berkata kerajaan juga perlu konsisten kerana MTUC tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan memandangkan pemgambilan vaksin bukan mandatori buat masa ini.

"Kita sekarang berada dalam kehidupan tidak normal. Jika ada tindakan dibuat hingga ada kehilangan sumber pendapatan, ia mungkin boleh beri kesan lain kepada negara seperti masalah pengangguran,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan bahawa pekerja yang enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (AKKP) 1994.

Walaupun tiada peruntukkan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 namun AKKP 1994 menuntut majikan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan tidak mengancam kesihatan pekerja.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram