Majikan tidak boleh buang pekerja tolak vaksin


  • Massa
  • Isnin, 30 Ogos 2021

MTUC galakkan pekerja untuk ambil vaksin demi kebaikan dan keselesaan semua pihak. — Reuters

MAJIKAN harus menguruskan masalah pekerja yang tidak mahu mengambil vaksin Covid-19 secara berhemah dan tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan tindakan disiplin kepada mereka, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, syarikat tidak boleh menjadikan keengganan pekerja untuk mengambil vaksin sebagai alasan untuk membuang mereka kerana kerajaan sendiri tidak mewajibkan pengambilan vaksin.

“Oleh kerana kerajaan tidak menjadikan pengambilan vaksin sebagai kewajipan kepada rakyat, maka syarikat tidak boleh menjadikan ingkar mengambil vaksin sebagai alasan yang adil dan wajar untuk memberhentikan pekerja.

“Syarikat tidak boleh menjadikan isu vaksin sebagai sebab atas tindakan disiplin umpama ‘lebih lajak dari laju’ dalam menangani isu vaksin sedangkan kerajaan memberi kelonggaran terhadap kewajipan pengambilan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Baharin turut mencadangkan kerajaan supaya merangka satu prosedur operasi standard (SOP) bagi pihak majikan untuk mengendalikan isu pekerja yang ingkar mengambil vaksin.

“SOP ini menjadi panduan kepada pekerja dan syarikat dalam mengatasi isu ini. Jangan biarkan perkara ini diuruskan oleh pihak pekerja dan syarikat tanpa panduan daripada kerajaan.

Beliau menggesa kerajaan membuat keputusan segera mengenai perkara ini kerana ia mampu memberi kesan terhadap pekerjaan dan isu sosial seperti perceraian atas alasan tidak mahu mengambil vaksin.

Tambahnya, MTUC sendiri menggalakkan pekerja untuk mengambil vaksin demi kebaikan dan keselesaan semua pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram