BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai masa sehingga 11 Oktober depan untuk mengemukakan jawapan saman yang difailkan syarikat SRC International Sdn Bhd terhadapnya, kata peguam yang mewakili firma itu.
Kata peguam yang enggan dikenali itu, mahkamah juga mengarahkan plantif (SRC) agar menfailkan jawapan kepada pembelaan, selewat-lewatnya 13 Disember in
Katanya arahan tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas SRC International memfailkan writ saman pada 7 Mei lalu, dengan dakwaan Najib melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.
Antara lain, plantif menuntut deklarasi bahawa plantif berhak mengikuti dan mengesan wang RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang tersebut atau sebarang harta yang diperoleh Najib dengan menggunakan wang berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.
"Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 14 Disember ini secara dalam talian (e-Review)," katanya.
Untuk rekod, Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.
SRC juga mendakwa Najib dalam kapasitinya selaku perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC ketika itu bertindak secara tidak jujur dalam membantu bekas pengarah SRC dan bekas pengarah GMSB dalam melanggar pelbagai kewajipan statutori.
Syarikat itu juga mendakwa bekas pengarah itu melakukan pecah amanah apabila gagal untuk memeriksa dengan pihak Bank AmIslamic mengenai jumlah penyelewengan yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun bank Najib. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram