SIKAP ambil mudah pengguna yang enggan tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas ditipu penyangak scammer online hanya akan menambahkan jumlah kes penipuan, sekali gus menyebabkan lebih ramai lagi yang akan terpedaya.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, terdapat segelintir pengguna yang tidak peka dan menganggap membuat laporan adalah benda remeh semata-mata.
"Mereka yang mengalami kerugian yang sedikit jarang membuat laporan atau aduan. Katakan mereka ditipu sebanyak RM50, tetapi pengguna beranggapan nilai itu terlalu sedikit.
"Perkara itu memberi keyakinan kepada penjenayah untuk meneruskan aktiviti mereka selain menjejaskan data sedia ada bagi mengubah undang-undang mahu pun mengambil sebarang tindakan. Jadi, sebaik-baiknya sebarang kerugian yang dialami tidak kira banyak atau sedikit, mangsa wajib buat laporan," katanya kepada Majoriti.
Jelas Kamal Affandi lagi, para pengguna diingatkan agar mementingkan perkhidmatan selepas pembelian sesuatu barangan gajet.
"Kadang-kala pengguna mengambil mudah soal ini. Walaupun jaminan diberikan selama setahun untuk kebanyakan produk, pengguna sewajarnya melanjutkan jaminan itu jika ditawarkan.
"Uruskan risiko pembelian barangan gajet itu dengan baik. Semakin panjang lanjutan tempoh jaminan produk itu, semakin selamatlah kita," tegasnya.
Kamal Affandi Hashim — The Star
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, golongan berpendapatan rendah merupakan sasaran utama penjenayah terutamanya dalam soal pembelian barangan gajet.
Hal ini kerana, jelasnya, golongan berkenaan tentunya akan mencari gajet dengan harga yang mampu milik bagi mereka namun tanpa sedar, penjenayah sering memanipulasi gaya pembelian daripada golongan terbabit.
"Realitinya sukar untuk mendapatkan gajet dengan harga murah melainkan gajet terpakai. Contohnya gajet berkenaan berharga RM1,000 tetapi ada yang menjual dengan nilai separuh harga daripada harga sebenar.
"Kebanyakan pengguna suka membandingkan harga produk, jadi mana mungkin barangan baharu dijual dengan harga yang terlalu murah," jelasnya.
Tambah Mohd Yusof, para pengguna dinasihatkan untuk melakukan pembelian di laman sesawang yang diyakini atau melalui pengedar yang sah.
"Laman e-dagang seperti Shopee dan Lazada mempunyai proses untuk mendapatkan ganti rugi sekiranya barangan yang dibeli itu rosak serta pengguna juga boleh memberikan komen negatif jika produk berkenaan tidak elok untuk rujukan pembeli pada masa akan datang.
"Sekiranya pengguna membeli di laman yang tidak diyakini seperti Facebook, memang agak sukar membuat tuntutan dan memberikan komen," katanya.
Mohd. Yusof berkata, pengguna juga digalakkan membeli barangan di kedai-kedai yang berdaftar di Malaysia bagi membolehkan proses perundangan dilakukan sekiranya berlaku kes penipuan.
"Jika anda membeli di kedai yang berdaftar Hong Kong misalannya, kerajaan tidak mempunyai mekanisme untuk membuat tuntutan wang di luar negara," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram