Dakwa 14 anggota keluarga maut akibat Covid-19, kakitangan Petronas raih sumbangan cecah RM91,000


  • 112
  • Ahad, 05 Sep 2021

HUSSIN Zamora berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.— Nur Aisyah Mazalan/The Star

SEORANG lelaki yang menerima sumbangan orang ramai berjumlah RM91,000 sejak Jun lalu kerana mendakwa 14 anggota keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19, telah direman empat hari mulai Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, lelaki yang merupakan pekerja kepada kontraktor di Kompleks Bersepadu Pengerang itu ditahan ketika hadir di Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi kerana dipercayai menyebarkan berita palsu kematian anggota keluarganya bagi mendapatkan sumbangan tersebut.

"Maklumat tular menerusi media sosial WhatsApp dan Facebook yang mendakwa lelaki tersebut berdepan dengan ujian berat akibat kehilangan keluarga telah menarik simpati orang ramai untuk memberikan sumbangan derma yang dimasukkan ke dalam akaun bank lelaki itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hussin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Terdahulu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam satu kenyataan mengesahkan seorang pekerja kepada kontraktor di Kompleks Bersepadu Pengerang dekat Kota Tinggi telah ditahan pihak berkuasa berhubung dakwaan palsu kehilangan ramai anggota keluarga disebabkan jangkitan Covid-19. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram