Pelantikan Ismail Sabri sah mengikut Perlembagaan


  • Politik
  • Sabtu, 04 Sep 2021

ISMAIL Sabri menyampaikan ucapan sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan pada 30 Ogos lalu. — AP

PEGUAM Negara, Tan Sri Idrus Harun menegaskan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang dibentuk mengikut lunas undang-undang.

Ujar beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, langkah mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya pelantikan Perdana Menteri baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Agong, ini bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi oleh pihak lain,” jelasnya.

Idrus berkata, Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budi bicara kepada Agong untuk melantik Perdana Menteri.

"Mengikut Perkara 43(2)(a) iaitu Perdana Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Agong mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

"Pelantikan Perdana Menteri merupakan tanggungjawab perlembagaan dan kuasa mutlak Agong," menurut beliau lagi.

Tambah Idrus, tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah pun diputuskan oleh Agong sendiri.

"Bagi tujuan tersebut, Agong telah pun mengadakan sesi menghadap bersama ketua-ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos dan kesemua 220 ahli Dewan Rakyat telah diminta untuk menyatakan nama ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan,” katanya.

Jelas beliau, nama bakal Perdana Menteri daripada kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara menerusi surat akuan pada 18 Ogos lepas.

Susulan itu, Agong telah berkenan menerima menghadap seramai 114 Ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos lalu untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri iaitu ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri.

Idrus berkata, pada 21 Ogos lepas, Perdana Menteri yang baharu mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah taat setia dan juga sumpah simpan rahsia di hadapan Agong menurut kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan.

"Selaras dengan proses pemilihan yang telah dijalankan oleh Agong dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan seperti yang dinyatakan, secara jelasnya pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram