JAWATAN Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sepatutnya digalas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata pakar politik.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, prosedur dan pelaksanaan MPN akan lebih mudah jika Perdana Menteri yang menerajuinya.
Jelasnya, Perdana Menteri mempunyai kuasa eksekutif yang tertinggi dan boleh terus membuat keputusan untuk segala cadangan yang dikemukakan menerusi MPN.
"Fungsi MPN adalah mencari idea dan membentuk perancangan teliti untuk menangani isu Covid-19 secara menyeluruh melibatkan aspek ekonomi dan sosial masyarakat.
"Oleh yang demikian, jika Perdana Menteri menjadi pengerusi, segala keputusan yang dipersetujui oleh boleh terus dipertimbangkan oleh Perdana Menteri malah, segala tindakan boleh terus dilaksanakan," katanya kepada Majoriti.
Begitupun jelas Mohd Azizuddin, beliau tidak menolak dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MPN dan berpendapat Ismail Sabri mungkin ada sebab tersendiri atas keputusan itu.
Mohd Azizuddin turut menekankan supaya kerajaan lebih telus dengan pembentukan MPN dan pelan-pelan yang bakal dirancang melalui majlis itu kepada rakyat.
Hurainya lagi, ini berikutan MPN perlu bersifat terbuka dan telus dengan rakyat tentang setiap perancangan pemulihan negara supaya mereka boleh turut serta untuk menjayakannya.
"MPN perlu terbuka dengan setiap perancangan supaya rakyat tahu apa yang mereka perlu lakukan. Ia juga melibatkan isu kepercayaan mereka yang buat masa ini masih tidak yakin dengan fungsi MPN itu sendiri.
"Tambahan pula ahli yang dilantik juga perlu dari golongan pakar dari semua sektor dan tidak lupa juga wakil dari parti pembangkang," ujarnya.
Nada sama turut dilontarkan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod yang menyifatkan rakyat Malaysia sebenarnya prihatin dan peka dalam usaha untuk menangani Covid-19 namun mereka tidak jelas dengan perancangan kerajaan mengenainya.
"Antara sebab kenapa perancangan sebelum ini dilihat gagal adalah mereka tidak tahu apa yang berlaku dari segi perancangan pada mereka status positif harian Covid-19 yang meningkat menjadi tanda aras.
"Rakyat akan berpuas hati dengan apa juga hasil perancangan MPN jika ia dikongsi secara terbuka," hurainya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.
Beliau dilaporkan berkata, pelantikan tersebut dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram