'Cadangan MKPN tidak realistik, macam peraturan budak sekolah'


  • Massa
  • Ahad, 05 Sep 2021

KERAJAAN dicadang supaya mewujudkan MKPN untuk merangka rukun-rukun politik namun ia tidak dipersetujui pakar. — Bernama

CADANGAN supaya kerajaan mewujudkan Majlis Kerukunan Politik Negara (MKPN) untuk merangka rukun-rukun politik dianggap sebagai tidak realistik dan terlalu bersifat idealistik, kata pakar politik.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, jika majlis tersebut hanya wujud berdasarkan nilai, banyak lagi panduan dan peraturan sedia ada dalam negara ini yang bersandarkan perkara tersebut.

“Pada saya ia satu idea yang bagus tetapi jika mahu diwujudkan, ia harus dibuat atas dasar yang konkrit seperti perundangan atau perubahan institusi.

“Kalau hanya berdasarkan nilai, dari zaman Melaka dahulu telah wujud panduan tentang nilai politik yang baik tetapi banyak sahaja ahli politik yang tidak patuh,” katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pemimpin veteran Umno, Tan Sri Mohd Yussof Latiff pada Sabtu yang mencadangkan supaya kerajaan supaya mewujudkan MKPN.

Mengulas lanjut, Azizuddin berpendapat bahawa majlis yang dicadangkan itu hanya akan bertindak sebagai pemberi nasihat dan tidak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan seperti Kabinet dan Parlimen.

Menurut beliau, jika majlis itu diwujudkan, ahli-ahli di dalamnya hanya perlu dibayar elaun dan bukannya gaji tetap.

Sementara itu, Felow Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir turut meluahkan pendapat yang sama tentang cadangan tersebut dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang memalukan buat ahli politik.

Katanya, pemimpin politik harus sedar diri tentang tanggungjawab mereka dan sifat-sifat murni yang perlu ada dalam diri tanpa mengikut sesuatu panduan

“Kenapa harus diwujudkan lagi majlis seperti ini untuk menjadi panduan buat ahli politik? Mereka bukan budak sekolah lagi yang harus dikawal mengikut peraturan.

“Ini akan menjatuhkan reputasi ahli politik itu sendiri dan ini menunjukkan mereka seolah-olah tidak dapat berifkir secara bijaksana dan waras.

“Lagipun, jika majlis ini diwujudkan, ia akan menjadi satu lagi batas sekatan kepada mereka selain undang-undang sedia ada.,” katanya.

Jeniri turut mempersoalkan kenyataan Mohd Yussof yang mencadangkan supaya MKPN diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.

“Sepatutnya, majlis seperti ini harus menjadi satu institusi bebas dan tidak terikat dengan mana-mana kementerian atau badan-badan kerajaan,” jelas beliau.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram