'Kalau tak licin boleh dapat pingat…sikit saja lagi'


  • Podium
  • Sabtu, 04 Sep 2021

MOHAMAD Puzi bertanding dalam keadaan trek licin disebabkan hujan renyai membasahi Stadium Olimpik sejak awal pagi Sabtu. — The Star
"SAYA dah buat yang terbaik, kalau tak licin boleh dapat pingat...sikit saja lagi,” demikian luahan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Pelumba lari negara itu gagal mencapai impian untuk mempertahankan emas dimenangi di Rio 2016 selepas mendapat tempat keempat dalam acara 100 meter lelaki T36 (kecacatan fizikal).

Mohamad Puzi bertanding dalam keadaan trek licin disebabkan hujan renyai membasahi Stadium Olimpik sejak awal pagi Sabtu.

Dia yang memulakan larian dengan baik pada 50m pertama, mengakui keadaan trek licin menyebabkan beliau hampir terjatuh pada 10m terakhir perlumbaan.

Biarpun mengakhiri kempen kedua Paralimpik tanpa sebarang pingat, semangat pelari berusia 33 tahun yang mesra dengan panggilan ‘Dek Wan’ masih membara untuk menyertai kejohanan mendatang termasuk Paris 2024.

Sehubungan itu, dia yang mengalami palsi serebrum juga tekad untuk merampas kembali pingat emas dimenangi oleh atlet China, Deng Peicheng dalam acara itu.

Mohamad Ridzuan sebelum ini mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik sejak negara mula menyertai temasya berprestij itu pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman, menerusi acara sama di Rio 2016. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mohamad Ridzuan, paralimpik