Benarkan guru tolak vaksin mengajar


  • Massa
  • Ahad, 05 Sep 2021

MENTERI Pendidikan mengarahkan guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 untuk hadir ke sekolah bagi melakukan tugasan lain. — The Star

GURU yang enggan menerima vaksin Covid-19 harus diberikan ruang untuk mengajar secara tidak bersemuka meskipun diarah hadir ke sekolah untuk melakukan tugasan lain yang akan diberikan kelak.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (​NUTP), Aminuddin Awang berkata, jika guru berkenaan tidak dibenarkan menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), ia akan membebankan warga pendidik lain yang telah mendapatkan vaksin Covid-19.

“Pihak kami menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi tugasan lain kepada guru yang tidak divaksin selepas tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.

“Namun, kami minta ruang untuk mereka mengajar kerana kita tidak mahu beban masa mengajar mereka itu dipindahkan kepada guru yang sudah mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Sabtu mengarahkan guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 untuk hadir ke sekolah bagi melakukan tugasan lain kerana banyak lagi tugasan perlu dilakukan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, KPM masih mempunyai ruang untuk mengatasi masalah tersebut kerana sesi persekolahan yang akan dibuka nanti hanya melibatkan kelas peperiksaan, dengan guru yang mengajar kelas peperiksaan telah 100 peratus divaksin.

“Jadi saya rasa, KPM boleh melakukan sesi perbincangan dan berjumpa dengan guru yang tidak mahu divaksin bersama tokoh-tokoh berwibawa bagi mengetahui punca sebenar mereka tolak vaksin,” kata Aminuddin. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

guru, pdp, pdpr, vaksin, nutp, aminuddin awang