EKSKLUSIF

Pastikan PdPR berkesan, ini rahsianya


  • Massa
  • Khamis, 02 Sep 2021

INTERAKSI menjadi elemen penting bagi memastikan PdPR dapat mencapai objektif.— Gambar Hiasan/Majoriti

BUKAN mudah untuk menjadi guru, tambah-tambah lagi dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Seiring dengan peredaran semasa terutamanya ketika pandemik Covid-19, jawatan guru tidak terhad sebagai tenaga pengajar semata-mata dan hakikatnya ia memang lebih daripada itu.

Gara-gara PdPR, amanah yang dipikul guru juga semakin besar terutamanya menuntut kreativiti masing-masing demi menarik minat pelajar supaya hadir dan kekal fokus ketika berada dalam kelas secara maya.

Tidak cukup sekadar kreativiti, kelas secara maya ini juga mementingkan elemen perhubungan antara guru dan penjaga pelajar khususnya ibu bapa bagi memastikan PdPR berkesan serta dapat dilaksanakan sepertimana kelas sebenar.

Ketua Eksekutif Iqra Team Solution, Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar berkata, interaksi juga menjadi elemen penting bagi memastikan PdPR dapat mencapai objektif.

Pdpr_Huzaimi_Guru

Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar

Beliau yang juga seorang tutor berkata, ia bagi memastikan pelajar selesa seolah-olah berada dalam kelas sebenar, namun ia harus mendapatkan penglibatan tiga 'watak' utama iaitu guru, penjaga dan pelajar itu sendiri.

"Ketika mengajar, saya minta semua pelajar menghidupkan kamera masing-masing kerana cara ini dapat memastikan interaksi yang lebih efektif.

"Saya juga setuju kalau ada grup WhatsApp antara guru dan penjaga, ini penting untuk elak salah faham yang mungkin boleh membuatkan guru lebih tertekan manakala guru juga boleh jelaskan tugasan apa yang telah diberikan kepada pelajar. Cuma, mestilah ada had masa kerana guru juga perlukan masa sendiri untuk bersama keluarga,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, tidak mendapat maklum balas daripada penjaga merupakan antara cabaran utama yang terpaksa dihadapi pihak sekolah untuk mengendalikan PdPR.

Guru kaunselor, Madihah Sabariah berkata, antara isu berbangkit daripada ketidak hadiran pelajar ke kelas PdPR adalah membabitkan kekangan rangkaian internet dan ketiadaan peranti.

“Bila kita telefon atau mesej, ada penjaga tidak beri respons. Apabila tiada maklum balas, pihak sekolah tidak tahu apa kekangan yang mereka hadapi. Alangkah baiknya jika kami dapat bekerjasama tetapi isu ini hanya babitkan segelintir saja. Inilah cabaran besar kami kerana ia cukup berbeza jika pembelajaran secara bersemuka.

“Namun hikmah daripada pandemik ini, hubungan antara penjaga dan pelajar dilihat bertambah baik. Apabila penjaga ambil tahu soal pembelajaran anak, barulah mereka tahu bagaimana silibus yang diguna pakai sekarang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kreativiti pembelajaran, Madihah berkata, pihak sekolah dan guru sentiasa bersedia melakukan pelbagai inisiatif untuk menarik minat pelajar.

“Sebagai kaunselor, ada kalanya saya turut serta dalam kelas PdPR untuk memantau apa yang berlaku. Apa yang boleh saya katakan, kreativiti guru makin baik berbanding awal (pandemik) dulu. Ada juga guru ambil inisiatif belanja ‘top up’ kerana mahu murid mereka masuk kelas, manakala ada juga sekolah yang mewujudkan Anugerah PdPR.

"Apa pun, penjagalah yang ada kawalan penuh untuk pastikan anak mereka hadir ke kelas ketika PdPR,” katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pdpr, guru, pelajar