Wujudkan majlis rukun politik lindungi isu sensitif


  • Politik
  • Sabtu, 04 Sep 2021

MKPN dapat mengawal isu sensitif seperti Perlembagaan Negara dan Institusi Raja Berperlembagaan. — Bernama

MAJLIS Kerukunan Politik Negara (MKPN) wajar dibentuk bagi merangka rukun-rukun politik untuk rakyat selepas situasi politik di negara ini dilihat begitu membimbangkan.

Saranan kepada kerajaan ini dibuat veteran politik Umno, Tan Sri Mohd Yussof Latiff yang mengatakan bahawa rukun politik boleh dijadikan sebagai tiang negara.

Selain itu, ia juga akan berperanan sebagai panduan kepada semua ahli dan pertubuhan politik mengenai apa yang boleh dan tidak boleh diamalkan dalam berpolitik.

Dalam masa sama, Mohd Yussof berkata, ia juga perlu mendukung cita-cita negara dan bertujuan menjaga keharmonian hidup rakyat berbilang kaum, berteraskan Perlembagaan Negara, Rukun Negara dan Kontrak Sosial.

"MKPN yang ditubuhkan itu perlu dipengerusikan oleh seorang negarawan yang dihormati oleh semua pihak, manakala anggota majlis pula harus terdiri daripada wakil badan politik dan ahli akademik yang berwibawa. Saya melihat Kementerian Perpaduan adalah yang paling layak untuk mengurus selia perkara ini.

"Dengan rukun politik ini, ia diharap dapat dijadikan syarat dan peraturan bagi semua ahli politik dan pertubuhan politik untuk tidak menyentuh isu-isu sensitif.

"Ia juga mengawal agar Perlembagaan Negara dan Institusi Raja Berperlembagaan tidak dipertikai selain menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan agama- agama lain turut dibolehkan untuk diamalkan," katanya.

Melihat kepada senario politik masa kini, Mohd Yussof yang juga Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) juga bimbang dan melabelnya sebagai tenat.

"Tidak dapat dinafikan bahawa politik adalah medium untuk rakyat bersatu dan membentuk kerajaan. Namun kini politik negara semakin tidak stabil kerana ahli politik dilihat hanya berminat untuk bermain politik dan akibatnya semua perkara menjadi permainan politik.

"Semua perkara hendak dipolitikkan antaranya pandemik Covid-19, bantuan rakyat dan sistem persekolahan. Ia diburukkan lagi apabila ada pihak yang berani membangkitkan pelbagai isu sensitif seperti menghina Institusi Raja-Raja Melayu, mempertikaikan Perlembagaan Negara dan sebagainya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram