Wujud semula Akta Perkhidmatan Parlimen


  • Primer
  • Sabtu, 04 Sep 2021

KERAJAAN dijangka melaksanakan pelan mentransformasikan Parlimen agar fungsinya lebih berkesan. — Agensi

MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah secara peribadi menyokong cadangan mentransformasi Parlimen untuk menjadikan majlis tertinggi pembuat undang-undang itu sebagai badan berautonomi dan lebih bersifat bipartisan demi kepentingan rakyat.

Menurut Saifudin, antara perkara yang boleh dilakukan dalam transformasi ini ialah mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

"Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara dilantik bukan daripada kakitangan kerajaan sebaliknya daripada kalangan orang bebas.

"Begitu juga dengan Ketua Pentadbir Parlimen yang sekarang adalah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) mewakili badan eksekutif serta kakitangan lain (lantikan kerajaan). Kalau transformasi ini dilakukan, bermakna kita perlu ada suruhanjaya yang bertanggungjawab merekrut pegawai dan petugas Parlimen," katanya.

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan mengenai transfomasi Parlimen yang membabitkan tiga perkara utama termasuk menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen akan diserah kepada Kabinet tidak lama lagi untuk disahkan.

Dalam perkembangan berlainan, ujar Saifuddin, kerajaan memantau perbicaraan kes membabitkan dua rakyat Malaysia di Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Teluk Guantanamo, Cuba.

"Kita memantau perbicaraan dan apa sahaja perkembangan yang berlaku,” katanya ringkas ketika ditanya perkembangan Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang dihadapkan ke mahkamah itu pada 30 Ogos lalu.

Kedua-duanya dihadapkan ke mahkamah itu berhubung insiden pengeboman di Bali, Indonesia kira-kira 19 tahun lepas.

Mereka ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 bersama seorang rakyat Indonesia iaitu Encep Nurjaman, yang turut dikenali sebagai Hambali.

Menurut Pejabat Suruhanjaya Tentera AS, ketiga-tiga suspek sepatutnya dihadapkan ke mahkamah itu pada Februari lepas namun perbicaraan terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram