'Adakan genjatan politik sehingga PRU15'


  • Politik
  • Khamis, 02 Sep 2021

SAIFUDDIN berkata, tindakan genjatan politik selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. — Bernama

SEMUA ahli politik khususnya Ahli Parlimen perlu mengadakan gencatan politik bermula sekarang hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa perkara itu diambil perhatian agar semua pihak memfokus kepada usaha menangani pandemik Covid-19 dan membangunkan semula ekonomi.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang berkata, langkah itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ini kerana menurut Saifuddin, Baginda bertitah supaya supaya Ahli Dewan Rakyat mengurangkan pergeseran dan pertelingkahan politik.

Jelas beliau lagi, landskap politik negara memerlukan tempoh untuk bertenang.

"Dalam waktu bertenang inilah kita perlu untuk kita tetapkan semula sistem.

"Setelah semuanya bertambah baik, rakyat boleh memilih apa yang terbaik untuk masa depan negara menjelang PRU15,” katanya.

Tambah Saifuddin lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah menyatakan keterbukaan beliau pada pertemuan dengan tiga pemimpin utama pembangkang.

Ismail Sabri dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah mengadakan pertemuan pada 25 Ogos lalu.

Kesemua pemimpin itu bersetuju mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Usaha sama itu juga disuarakan Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos.

Beliau menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Saifuddin, Ismail Sabri, genjatan, PRU-15