Pecat Ahli Parlimen, TI-M sokong gesaan Azalina


  • Massa
  • Khamis, 02 Sep 2021

JELAS Dr Muhammad Mohan, usul RUU itu berfungsi sebagai undang-undang mencegah perbuatan lompat parti. — Bernama.

TRANSPARENCY International Malaysia (TI-M) menyokong gesaan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen kepada Dewan Rakyat.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, akta yang diusulkan itu berfungsi sebagai undang-undang bagi mencegah perbuatan lompat parti serta sudah lama disokong oleh pakar dan organisasi sivil seperti Bersih 2.0.

“Rakyat yang memilih kerajaan menerusi pilihan raya pada tahun 2018 telah dirampas kuasa dan hak mereka ketika berdepan dengan kerajaan yang tidak dipilih oleh mereka secara sah.

“Lebih menyedihkan apabila sekutu dan kepemimpinan yang dimandatkan secara demokratik, semuanya dibuat olok-olok melalui aktiviti lompat parti, pecah amanah dan semangat kesetiaan yang kian luntur,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Azlina dalam satu kenyataan berhasrat menghantar notis usul bagi membentangkan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi tujuan memperkenalkan pilihan raya semula atau 'recall election'.

Beliau bercadang menghantar notis usul tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli Yang Bukan Ahli Kerajaan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan bermula pada 13 September ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Mohan berkata, demokrasi yang matang sememangnya melibatkan institusi demokrasi yang kuat.

Justeru, katanya, undang-undang mencegah lompat parti diperlukan bagi memberi kuasa semula kepada rakyat untuk menarik sokongan daripada wakil rakyat yang telah membelakangi mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

azalina, ruu, pecat, parlimen,