Usul akta pecat YB akan dibentang di sidang Parlimen bulan ini, kata Azalina


  • Primer
  • Rabu, 01 Sep 2021

AKTA Pemecatan Ahli Parlimen membolehkan pengundi menarik balik mandat yang telah diberikan kepada wakil rakyat. — Bernama

AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said akan menghantar satu notis usul di Dewan Rakyat bagi mencadangkan penubuhan Akta Pemecatan Ahli Parlimen atau Recall Act ketika persidangan Parlimen pada September.

Azalina berkata, undang-undang tersebut membolehkan pengundi menarik balik mandat yang telah diberikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka, justeru hak memilih wakil rakyat baharu atau untuk mengekalkan wakil rakyat dikembalikan kepada pengundi.

Katanya, undang-undang ini perlu bagi mengekang gejala berleluasa di mana wakil-wakil rakyat dilihat membelakangi bukan sahaja parti politik yang memberi watikah pencalonan tetapi juga masyarakat yang bersusah payah mengundi mereka.

"Ramai rakyat mempersoalkan: Apa ertinya mengundi jika Wakil Rakyat boleh memajak gadaikan mandat rakyat selepas pilihan raya?

"Pemimpin generasi saya harus menerima persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat. Jika persaingan ini berdasarkan peraturan permainan (Rules of the Game) yang munasabah, dan bukan dicetuskan daripada perpecahan parti politik yang memudaratkan.

"Persaingan politik perlu dimurnikan - bukan dihapuskan, ditekan, di isi dengan kebencian ataupun dihuru-harakan. Demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi saya dan generasi lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik sesuatu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji dan dicaci," jelasnya.

Menurut Azalina, suatu notis usul akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

“Usul RUU yang dicadangkan bertajuk Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 dan saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya pecat atau recall election dalam sidang Parlimen September 2021 ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menjelaskan, beliau turut berhasrat mencadangkan penubuhan Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti antara ahli Parlimen yang berminat.

Antara lain tujuan penubuhan tersebut, jelas beliau, adalah bagi memperkasa institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan demokrasi berparlimen dalam negara. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ends.