Jangan takut kalah PRU, kerajaan perlu berani perkenal semula GST


  • Massa
  • Sabtu, 04 Sep 2021

GST boleh bantu negara pulih dari segi ekonomi.

KERAJAAN perlu berani untuk memperkenalkan semula sistem cukai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai satu daripada langkah membantu memulihkan ekonomi negara pulih, kata pakar.

Penasihat Penyelidikan Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Dr Fatimah Kari berkata pengenalan semula GST ini bakal memberi mesej positif kepada pelabur bahawa negara komited dalam mengukuhkan semula ekonomi negara.

“Bagi saya kalau kerajaan berani lagi, mereka tak takut kalah pada pilihan raya dan fokus mereka adalah untuk membina negara, bangunkan semula sistem cukai kita iaitu GST.

“Perit tapi alang-alang perit, susah, baik kita susah sekarang, bangunkan sistem GST itu sebagai salah satu usaha supaya semua orang, miskin kaya, semua bayar cukai setakat yang kita mampu.

“Kalau kita berani untuk mengambil risiko memperkenalkan GST, pelabur akan yakin bahawa kita berani untuk mengambil jalan susah.

"Kita sedar dan faham bahawa hutang ini perlu dibayar dan kita bersedia untuk melakukan sesuatu yang realistik dan kukuh untuk pastikan kewangan negara kembali pulih,” katanya kepada Majoriti.

Beliau mengulas tentang kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mengemukakan usul menaikkan had statutori hutang negara kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini, di Kabinet minggu hadapan, sebelum dibawa ke Parlimen.

Malaysia sebelum ini melaksanakan sistem cukai GST semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Razak tetapi sistem cukai itu dimansuhkan pada 2018 apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

GST, Fatimah Kari, hutang negara