MASIH ada ruang untuk memujuk sekitar 2,500 orang guru yang dikatakan enggan mengambil vaksin, kata Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).
Presidennya, Aminuddin Awang berkata ibu bapa bagaimanapun tidak perlu khuatir kerana kesemua guru yang akan terlibat dengan sesi pengajaran secara bersemuka bermula Oktober 3 ini, telah mendapat suntikan vaksin masing-masing.
Menurutnya, NUTP menyokong kenyataan menteri pendidikan untuk tidak membenarkan guru yang menolak vaksin daripada mengajar secara bersemuka demi memastikan tahap keselamatan dan aspek kesihatan berkaitan Covid-19 ini betul-betul diyakini semua pihak termasuk ibu bapa.
“Kita tak nak nanti ada kluster sekolah kalau mereka dibenarkan ke sekolah.
"Kita bimbang sebab ada kemungkinan besar mereka boleh jadi penyebab kepada kewujudan penyebaran (virus) ini di sekolah.
“Walaubagaimanapun mereka ini tidak boleh lari dari tanggungjawab bertugas, dalam hal ini saya rasa kementerian pendidikan akan merangka sesuatu.
"Saya tak boleh komen lagi sebab kementerian masih belum keluarkan lagi apa bentuk tugasan yang akan dilaksanakan guru-guru yang tidak dibenarkan hadir ke sekolah,” katanya kepada Majoriti.
Menurut Aminuddin, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) masih mempunyai masa untuk memujuk guru-guru yang enggan mengambil vaksin ini memandangkan sesi persekolahan bagi murid tahun lain masih belum bermula.
“Sesi 3 Oktober ini hanya untuk tingkatan 5 (dan 6), guru-guru yang mengajar tingkatan ini semua 100 peratus sudah divaksin.
“Untuk tahun lain kita masih belum pasti bila sesi persekolahan mereka akan dibuka, sekolah rendah, tingkatan dua dan tiga umpamanya, jadi saya rasa dalam tempoh yang ada ini kita boleh gunakan untuk mendekati mereka ini, beri penerangan, bawa pakar untuk patahkan hujah-hujah mereka,” katanya.
Menurut Aminuddin, peratusan guru-guru yang enggan mengambil vaksin ini juga masih rendah, dan beliau yakin bahawa angka tersebut mampu dikurangkan.
“Itu (2,500) bukanlah satu angka yang besar (jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan 430,000 guru), saya rasa ia sangat terpencil kalau kita lihat dari segi peratusan, tapi dalam bab penyebaran Covid-19 ini seorang pun boleh jadi penyebar.
“Saya rasa kita ada ruang dan masa untuk tumpu pada usaha meminimakan jumlah mereka yang tidak ingin mengambil vaksin.
“Kita juga perlu ingat daripada angka tersebut ada juga yang menolak vaksin kerana faktor lain seperti kesihatan, mengandung, jadi saya rasa sampai satu masa peringkat jumlah mereka akan mengecil, cuma fokus kita sekarang adalah untuk meyakinkan mereka yang menolak vaksin kerana tidak yakin,” jelasnya.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada Jumaat berkata, guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober depan.
Katanya ketika ini, terdapat 2,500 guru di negera ini enggan divaksinkan, dan pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama mereka.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram