REAKSI negatif pelabur tidak seharusnya menjadi fokus utama jika kerajaan mahu meneruskan hasrat untuk meningkatkan had statutori hutang negara, kata pakar ekonomi.
Penasihat Penyelidikan Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Dr Fatimah Kari yang berpendapat bahawa fokus perlu diberikan kepada kesan jangka masa sederhana dan panjang berbanding reaksi knee-jerk (spontan) daripada pelabur.
“Rating akan turun sebab kita terpaksa mengaku bahawa kita terpaksa berhutang lebih jadi rating A1 ke A2 dan sebagainya, itu reaksi pasaran, tapi reaksi ini bersifat jangka pendek.
“Kita jangan terlalu terbawa-bawa, memang kita “tewas”, ambil kisah boleh tapi pasaran ini ada pembuat spekulasinya, ada orang yang sentiasa mengambil untung, esok pasaran merudum ada orang beli, jadi saya tidak terlalu mengambil pusing mengenai apa reaksi pasaran,
“Tapi untuk jangka masa sederhana dan panjang, jika kita kawal sumber kita dengan baik, maka pasaran (pelabur) akan senyap,” katanya kepada Majoriti.
Beliau mengulas tentang kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mengemukakan usul menaikkan had statutori hutang negara kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini, di Kabinet minggu hadapan, sebelum dibawa ke Parlimen.
Fatimah yang turut sama menyokong cadangan terbabit berkata, kerajaan bagaimanapun perlu memastikan perbelanjaan tersebut digunakan untuk pemulihan negara, khususnya dalam menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Kesan jangka masa sederhana dan panjang dari segi positifnya (apabila had hutang negara dinaikkan), kerajaan ada peluang untuk berbelanja.
"Kita umpama kapal terbang yang tinggal satu sahaja enjin, satu lagi sudah rosak, iaitu sektor swasta yang terkesan disebabkan Covid-19, jadi cuma tinggal kerajaan.
“Saya sokong langkah ini cuma perbelanjaan itu mestilah tersasar untuk keperluan negara dan masyarakat, dari segi untuk menjana pekerjaan, bina sistem pelaburan dan restart (hidupkan) semula ekonomi," katanya.
Telus urus kewangan
Jelasnya, kerajaan bagaimanapun berlu mentadbir urus sumber kewangan dengan disiplin, telus dan penuh keterbukaan.
“Jangan ada rasuah, salah guna, jangan ada lagi masalah-masalah lalu yang menghancurkan sistem ekonomi negara.
“Kalau semua ini kita boleh kawal, apa salahnya berhutang dan berbelanja, semua orang berhutang tapi yang utamanya adalah kita jana peluang pekerjaan,” katanya.
Menurut Fatimah, kerajaan juga perlu bijak dalam menyusun hutang-hutang negara supaya rakyat yakin bahawa cagaran yang akan diletakkan kerajaan selamat serta boleh ditebus balik apabila tiba masanya.
“Dalam sistem hutang menghutang ini dia ada kesan sampingannya. Kita kena bijak susun supaya rakyat tahu bahawa kolateral (kesan) yang diletakkan itu selamat dan apabila kita sudah mampu bayar hutang kita terpaksa ambil balik apa yang kita cagarkan.
“Itu proses biasa dalam pentadbiran fiskal negara,” katanya.— Majoriti.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram