Tugasan lain menanti guru enggan ambil vaksin


  • Primer
  • Sabtu, 04 Sep 2021

GURU yang tidak mengambil vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di sekolah. — The Star

GURU yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 akan diberi tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka nanti, kata Datuk Dr Radzi Jidin.

Menteri Kanan Pendidikan itu berkata tindakan sedemikian akan diambil selepas mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas.

Pada Jumaat, Radzi berkata kira-kira 2,500 guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober ini.

Katanya tindakan berkenaan diambil bagi memastikan ibu bapa yakin bahawa persekitaran sekolah selamat untuk anak-anak mereka.

Katanya terdapat banyak tugasan lain di sekolah yang boleh dilakukan guru berkenaan.

"Pada masa sama kami juga sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apa tindakan dan pendekatan selanjutnya untuk guru-guru ini, insya-Allah saya sendiri akan berhubung dengan sebahagian daripada mereka," katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata pihak sekolah masih menjalankan kaji selidik untuk mendapatkan gambaran awal mengenai penerimaan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"Kita masih menunggu maklum balas daripada ibu bapa. Itu bukan satu arahan, tetapi tinjauan untuk mendapat gambaran sedikit sebanyak kerana sebarang urusan berkaitan vaksinasi adalah di bawah JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) dan CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19),” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Radzi Jidin, guru, vaksin, Covid-19